Bekas menteri kewangan Daim Zainuddin meninggal

BEKAS Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin meninggal dunia di sebuah hospital swasta, di sini, semalam (Rabu) pada usia 86 tahun.

Pemergian ahli politik veteran dan ahli perniagaan itu disahkan peguamnya, Datuk Dr Gurdial Singh Nijar.

Allahyarham meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital sejak dua minggu lalu.

Sementara itu, portal Malaysiakini memetik Gurdial sebagai berkata, pengebumian Allahyarham akan dibuat pagi ini.

“Ya. Benar dia meninggal dunia. Dia mengalami strok baru-baru ini dan diletakkan di unit rawatan rapi (ICU). Belum ada maklumat lanjut,” katanya lagi.

Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke rumah di Persiaran Bukit Tunku sebelum solat jenazah dijangka selepas solat Asar di Masjid Wilayah, Jalan Duta, di sini.

Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara 1.

Daim berkhidmat sebagai Menteri Kewangan dua kali, yang pertama dari 1984 hingga 1991 di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di mana beliau memainkan peranan penting dalam mengurus ekonomi Malaysia dan melaksanakan pelarasan struktur.

Beliau kemudian kembali untuk penggal kedua dari 1999 hingga 2001, sekali lagi di bawah Dr Mahathir, untuk menangani isu ekonomi berikutan krisis kewangan Asia ketika itu.

Dilahirkan pada 29 April 1938 di Kedah, Allahyarham pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen selama lima penggal antara 1982 dan 2004.