KETUA Pemuda, Datuk Dr Muhamada Akmal Saleh menyangkal dakwaan bahawa pemimpin UMNO ibarat dicucuk hidung.
“Saya adalah bukti pemimpin yang tidak dicucuk hidung. Saya sudah beberapa kali berbeza pendapat dalam parti, namun ia sesuatu yang dihormati dan diraikan,” katanya kepada Khairy Jamaluddin.
Beliau juga berkata UMNO terbuka menerima semula bekas ahli yang dipecat atau digantung termasuk Khairy, Shahril Hamdan dan ramai pemimpin lain untuk kembali menyertai parti itu.
Bagaimanapun, bekas pemimpin dan ahli yang terlibat perlu mematuhi syarat kerana UMNO mempunyai struktur.
Menurutnya, sikap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menerima semula Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang merupakan bekas pemimpin parti itu baru-baru ini melambangkan jiwa besar beliau sebagai pemimpin nombor satu parti.
“Meskipun presiden dihentam teruk oleh Tajuddin, beliau (Ahmad Zahid) tetap menerima semula pemimpin itu.
“Sekiranya UMNO berada dalam satu keluarga, saya percaya kita mampu ditegakkan. UMNO tidak mampu untuk hilang walaupun satu kerana semua orang ada kekuatan masing-masing,” katanya ketika ditemui pemberita selepas bergotong-royong membersihkan Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) semasa Misi Bantuan Banjir Pemuda Barisan Nasional (BN) di Kampung Serongga, di Pasir Mas, semalam.
Mengulas lanjut, Muhamad Akmal memberitahu, bekas pemimpin dan ahli boleh kembali semula kepada UMNO sekiranya mereka masih sayangkan parti itu.