Melayu hilang hak? Sila buktikan Dr Mahathir!

SEORANG veteran UMNO meminta bekas perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad dan Perikatan Nasional agar membuktikan dakwaan mereka bahawa orang Melayu kehilangan banyak hak dalam tempoh dua tahun selepas Kerajaan Perpaduan memerintah.

Othman Desa, ketua Kelab Veteran UMNO, mempersoalkan sama ada Dr Mahathir membuat dakwaan itu kerana kehadiran DAP dalam kerajaan sekarang.

Katanya, Dr M membuat andaian membabi buta tanpa menyertakan sebarang bukti.

“Dia bercakap semata-mata kerana politik peribadi menjelang pilihanraya umum akan datang,” katanya.

Menurut Othman, Dr M cuba membangkitkan keresahan orang Melayu dengan memainkan isu 3R (bangsa, agama dan raja-raja).

“Jika ada bukti, sebutlah,” katanya.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi itu menekankan, hak Melayu tidak sedikit pun terusik walaupun adanya sebuah parti yang selama ini kuat menentang agenda Melayu dan Islam.

Khamis lalu, Dr M dan beberapa pemimpin PN mengadakan rundingan meja bulat bagi mengenal pasti ‘musuh’ Melayu dan mendakwa bangsa Melayu kehilangan banyak hak sejak Anwar Ibrahim diangkat sebagai perdana menteri.

Bekas pengerusi Bersatu itu juga mendakwa kerajaan menutup mulut mereka yang memperjuangkan agenda Melayu seperti ugutan untuk mengheret mereka ke mahkamah.