KETUA UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengumumkan bahawa parti itu akan bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah berkata, keputusan tersebut dimuktamadkan bagi menjawab persoalan banyak pihak berhubung dengan siapa UMNO Sabah akan bekerjasama dalam PRN kali ini.
“Hari ini saya ingin memaklumkan bahawa UMNO Sabah telah mengadakan ‘retreat’ pada satu ketika dan kita memutuskan akan bergabung dengan PH.
“Bagi parti-parti lain, kita tidak menutup pintu. Mana-mana parti yang kita lihat ada keinginan, kesungguhan dan kesetiaan, kita akan pertimbangkan untuk bergabung,” katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka di kediamannya di Kota Kinabalu, semalam.
Ketika ditanya bila perbincangan itu diadakan, beliau memaklumkan bahawa retreat tersebut berlangsung di Pulau Pinang pada akhir tahun lalu dan perbincangan rasmi akan diadakan bersama PH Sabah dalam masa terdekat.