UMNO tidak tamak untuk memohon mana-mana jawatan menteri yang kemungkinan dikosongkan susulan keputusan pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO bersyukur sudah mempunyai tujuh jawatan menteri dalam Kerajaan Perpaduan.
“Itu hak mereka. Kita tidak boleh campur dan kita tahu batas-batas permintaan kita. Sebab itu kuota untuk mereka (PKR). Jadi, saya tidak fikir UMNO begitu tamak untuk memohon jawatan itu diberikan kepada UMNO
“Tapi kalau jawatan itu mahu diberikan kepada UMNO, kita menadahkan sebuah padang bola untuk menerima tawaran itu,” katanya di Kuantan, Sabtu.
PKR setakat ini menyaksikan perletakan jawatan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad. Kedua-duanya tewas pada pemilihan parti PKR.
Rafizi tewas kepada Nurul Izzah Anwar dengan hampir 6,000 majoriti manakala Nik Nazmi Nik Ahmad gagal mempertahankan jawatannya sebagai Naib Presiden PKR.
Mengulas keputusan pemilihan parti PKR, Ahmad Zahid Hamidi berharap hubungan kedua-dua gabungan parti itu dalam Kerajaan Perpaduan terus erat.
Beliau juga yakin sebarang keputusan yang akan dibuat Presiden PKR iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan keputusan pemilihan parti itu malam tadi akan terus memperkukuh Kerajaan Madani ketika ini.