SEORANG pemimpin UMNO menyangkal dakwaan bahawa MCA diketepikan kerana UMNO mengutamakan kerjasama dengan DAP.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata MCA masih aktif dalam Barisan Nasional dan ia tetap diperlukan gabungan itu.
“Apa bukti UMNO ketepikan MCA? Mereka masih memegang jawatan penting dalam BN dan kerajaan.
“Malah presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong sendiri mengadiri majlis ulang tahun ke-79 UMNO baru-baru ini,” kata Shahaniza di Kuala Lumpur, kelmarin.
Beliau memberi contoh perlantikan ketua MCA Temerloh Wong Tat Chee sebagai ahli Dewan Undangan Negeri Pahang dan bekas ketua pemudanya Nicole Wong yang dilantik sebagai pegawai khas kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Shahaniza berharap MCA perlu fokus kepada persediaan menghadapi pilihanraya umum ke-16 nanti.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas bekas naib presiden MCA Ti Lian Ker yang berkata partinya perlu merangka arah masa depan sendiri berikutan diketepikan UMNO.
Ti berkata adalah tidak wajar bagi MCA meninggalkan BN sekarang, namun ia perlu mencari arah sendiri bagi mencatat kemenangan pada PRU akan datang.