Muafakat Nasional: Tanjung Piai Medan Ujian Pertama

MUAFAKAT Nasional (MN) buat waktu ini akan menjadi platform semak dan imbang kepada kerajaan bagi menyuburkan lagi amalan demokrasi di dalam negara. Muafakat ini juga akan memperkukuhkan lagi blok pembangkang yang pastinya menguatkan peranan Barisan Nasional dan PAS dalam memperjuangkan hak dan tuntutan rakyat. Muafakat ini akan bergerak ke arah aliran garis tengah sederhana dan bukannya ke garis keras kanan mahupun garis keras kiri.

Muafakat ini pastinya memberi impak yang besar kepada rakyat dan kerajaan. Terdapat usaha-usaha daripada pihak tertentu memberikan gambaran negatif kepada Muafakat ini melalui artikel, wacana, ceramah dan infografik di media sosial, portal dan akhbar. Kita merasa cukup terkilan dengan paparan sebuah akhbar yang menghina Muafakat Nasional, pemilik dan penyunting akhbar tersebut mempunyai kecenderungan menghasut rakyat dan menghina Himpunan Penyatuan Ummah (#HPU914). Inilah antara cabaran besar politik toksid yang akan kita depani pasca Muafakat Nasional dari semasa ke semasa.

Golongan pengadu-domba ini pastinya akan terus berusaha bagi menghalang sebarang usaha ke arah kebaikan yang akan merugikan mereka. Sepertimana amaran Allah SWT:
“Dan janganlah kamu ikuti setiap orang yang banyak bersumpah lagi hina yang banyak mencela, yang ke sana ke mari mengadu domba.”
(al-Qalam 10 – 11)

Begitu juga sabda Rasulullah SAW berkaitan dengan golongan ini:”Kamu akan mendapati sejahat-jahat manusia adalah orang yang memiliki dua wajah; yang datang kepada sebahagian orang dengan satu wajah dan datang kepada yang lain dengan wajah yang lain.”
(Bukhari 3493 Muslim 2526)

Agenda besar permufakatan UMNO PAS seperti yang saya gariskan dalam enam hasrat permuafakatan akan terbantut jika terdapat dalam kalangan kita yang terpengaruh dengan golongan pengadu domba. Oleh sebab itu dalam apa keadaan sekalipun ummah dan negara hendaklah diutamakan berbanding kepentingan peribadi, kaum dan puak.

Alhamdulillah, UMNO sudah memasuki fasa kedua pasca Muafakat Nasional dengan penganjuran konvensyen UMNO mengikut negeri. Syabas diucapkan kepada seluruh pengerusi perhubungan UMNO negeri, walaupun berhadapan dengan pelbagai kekangan mereka tetap berusaha mengadakan konvensyen ini. Melalui konvensyen ini semoga kesatuan dan kekitaan di kalangan pejuang UMNO dapat dimantapkan, diperteguhkan dan diperkukuhkan.

Semasa merasmikan Konvensyen UMNO Sabah pada minggu lalu, saya dapat rasakan roh perjuangan UMNO Sabah masih kental, disuburkan dengan tokoh-tokoh baharu yang begitu tinggi semangat juangnya. Saya berkeyakinan perjuangan yang tertangguh ini dapat ditebus kembali apabila empat elemen penting dapat dikenal pasti iaitu:

• Menggali potensi Sabah apabila terbentuknya kerajaan baharu kelak
• Menawarkan Sabah sebagai negeri yang berotonomi dan melaksanakan butiran MA63
• Menghidangkan tawaran baharu (new deal) yang dikenal pasti untuk rakyat Sabah
• Melaksanakan harapan Sabah untuk orang Sabah.

Kini Muafakat Nasional mula diuji. Pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai akan menjadi medan ujian pertama Muafakat Nasional. Pelbagai pandangan telah diutarakan berkaitan calon dan parti yang selayaknya bertanding. Semua pandangan tersebut saya menerimanya dengan positif. Apa yang pasti keputusan yang besar dan berisiko ini memerlukan kajian dan pendekatan yang pelbagai, termasuk berunding secara dalaman dengan rakan komponen dan PAS.

Mengambil pendekatan yang pernah digariskan oleh Syeikh Yusuf al-Qaradawi, dua aspek penting yang perlu dipertimbangkan sebelum ketetapan dan keputusan berkaitan calon dibuat:

• Fiqh Muwazanat: Faham keseimbangan, untuk mengimbangi pelbagai kepentingan dari aspek kemampuan, tahap sokongan dan keberkesanan untuk memutuskan apa yang perlu didahulukan dan apa yang perlu dikesampingkan.

• Fiqh Awlawiyat: Faham keutamaan, iaitu mengambil keputusan atas perspektifnya yang betul. Tiada perkara penting yang diremehkan dan tiada perkara kecil yang dibesar-besarkan. Tiada masalah kritikal yang dipandang kecil dan tiada isu picisan yang dipanjangkan.

Menjadi keutamaan kepada saya dan kepimpinan UMNO memelihara kesatuan dalaman parti dan rakan komponen. Sebelum apa-apa keputusan dan ketetapan dibuat pastinya apa yang telah digariskan dalam Piagam Muafakat Nasional akan menjadi rujukan dan panduan. Kita cuba elakkan percanggahan sesama sendiri yang merugikan. Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita pedoman dan keputusan yang terbaik.

Sebagai panduan marilah kita hayati ungkapan Pak Natsir: “Manusia adalah hayawanun natiq, haiwan yang berfikir dan berakal. Selamanya terbuka kesempatan untuk berfikir, maka tetap ada kemungkinan berbeza dalam kejujuran (honest differences of opinion). Hasil daripada berfikir dan berijtihad, bukanlah suatu yang ditakuti. Berbeza pandangan bukanlah faktor perpecahan (tafarruq). Ia merupakan pendorong untuk mengasah otak dan meninggikan mutu berfikir dan mutu kecerdasan umat. Perpecahan timbul apabila perbezaan pandangan ditunjangi oleh hawa nafsu oleh pihak yang berkenaan dan berkepentingan yang tidak mengetahui ke mana jalan penyelesaian apabila tidak memperolehi persetujuan”.

AHMAD ZAHID HAMIDI
#muafakatnasional
#demiummah
#akhiratdidepan


Leave a Reply

Your email address will not be published.Required fields are marked *