Pekebun, Peneroka Pula Jadi Mangsa… PH Terus Bawa Kerosakan Kepada Negara

Saya merasa terkesan dengan nasib yang menimpa 762,635 pekebun kecil dan peneroka sawit yang jelas makin terancam sejak Pakatan Harapan (PH) memerintah.

Segalanya jadi semakin memburuk dari hari ke hari.

Pada penghujung 2018, sawit mengalami penurunan drastik hingga ratusan ribu pekebun kecil terjejas. Dahulu pendapatan purata peneroka sawit cecah RM1500 – RM2000. Kini jatuh mendadak! Cuma tinggal hanya RM300 sahaja sebulan.

Terbaru, industri sawit Malaysia menerima episod lebih malang apabila pelbagai laporan media dalam dan luar negara menyentuh mengenai ancaman Kerajaan India untuk memboikot kelapa sawit negara.

Mengapa ini boleh berlaku? Apa sudah jadi pada Malaysia hari ini? Dibawah pentadbiran Pakatan Harapan ini?

Saya simpulkan ia adalah kerana salah Pakatan Harapan itu sendiri, dengan lemahnya dan tidak mahir dalam mengurus serta gelojoh untuk mencipta nama politik peribadi hingga mengorbankan rakyat.

Perdana Menteri dengan jelas cuai, tidak cermat dan langsung tidak teliti apabila mencampuri konflik pembebasan Kashmir antara India dan Pakistan di Perhimpunan Agung PBB di New York, Amerika Syarikat. Sebagai Perdana Menteri, beliau mesti ada sikap tanggungjawab kepada rakyat terlebih dahulu sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan berkaitan sesuatu konflik antara negara lain yang akhirnya melibatkan periuk nasi rakyat negara sendiri.

Dahulu, Barisan Nasional telah meletakkan Malaysia antara negara pengeksport minyak sawit terbesar dunia dengan menguasai lebih 30% pasaran eksport dunia. Ia adalah pencapaian selari dengan falsafah kerja Barisan Nasional untuk membantu pekebun kecil dan peneroka sawit.

Kini bukan sahaja harga sawit jatuh teruk, tetapi industri sawit Malaysia ‘berada di ambang maut’ kerana pengimport sawit terbesar dunia iaitu India sudah tidak berminat untuk membeli komoditi sawit kita lagi.

Saya tidak nampak, Menteri Industri Utama, Teresa Kok atau Perdana Menteri itu sendiri mengambil langkah ‘genius’ dan efektif, sejak harga minyak sawit mula jatuh mendadak pada Mei 2018.

Yang ada hanya kempen Sayangi Sawitku yang tidak masuk akal dengan membazirkan wang rakyat untuk mencetak banner, bunting, pamplet dan sebagainya.

Itu tidak termasuk Teresa Kok menghabiskan banyak wang rakyat melancong ke negara yang tidak perlu, seperti melawat safari di Afrika sedangkan Malaysia menghadapi kekangan besar industri sawit di India dan Eropah.

Semakan saya juga menunjukkan kejatuhan harga Minyak Sawit Mentah (CPO) sebanyak 17% dan harga Buah Tandan Segar (BTS) sebanyak 24% sejak Pakatan Harapan memerintah. Ini satu rekod yang menyedihkan buat pekebun kecil dan negara amnya kerana kerajaan gagal melonjakkan statistik eksport yang positif, tidak selari dengan kata-kata mereka kononnya Pakatan Harapan itu lebih baik dari Barisan Nasional.

Saya pasti jika India memboikot minyak sawit negara, rakyat akan terkesan dengan teruk sekali terutamanya lebih 600,000 Pekebun Kecil Sawit dan 100,000 peneroka Felda yang kini berpendapatan sangat rendah.

Jika tsunami sekatan sawit India ini benar-benar belaku, entah berapa pula pendapatan mereka nanti? RM100, RM50 sebulan? Ini satu penganiayaan kepada rakyat!

Ancaman dari India adalah realiti. Walaupun kerajaan mereka masih belum buat keputusan, ancaman itu cukup untuk membuatkan pembeli CPO India akan beralih kepada Indonesia.

Tiada apa lagi yang rakyat boleh harapkan pada kerajaan Pakatan Harapan kerana PH terus menerus membawa kerosakan kepada Malaysia.

Elok benarlah dibubarkan sahaja parlimen!
#bubarparlimen

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia
Naib Presiden UMNO


Leave a Reply

Your email address will not be published.Required fields are marked *