MELAKA, 12 Nov – Pengundi perlu melihat kemampuan seseorang calon untuk memberikan khidmat kepada masyarakat selepas pilihan raya, bukan hanya menilai berdasarkan pilihan ketika berkempen dan hari pengundian, tegas Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said.
Beliau berkata, hari selepas pengundian amat penting kerana wakil rakyat yang dipilih perlu memikul tanggungjawab dan memastikan segala permasalahan penduduk dapat diselesaikan.
“Yang penting bukan hanya 14 haribulan ketika kita membuang undi, tetapi 15 haribulan juga dan kemudian selepas selesai mengundi, kita mahu orang yang dipilih benar-benar boleh membantu kawasan.
“Kalau kita tersalah pilih calon, bagaimana dia hendak membantu penduduk?” katanya ketika sesi santai bersama calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Hilir, Jasmine Lok, sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Azalina berkata, isu di Bandar Hilir banyak berkait dengan bidang kuasa kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT), justeru hubungan kerja antara wakil rakyat dengan kerajaan negeri penting bagi memastikan keperluan penduduk dapat diberi perhatian.
Menurutnya, keserasian wakil rakyat dengan pentadbiran kerajaan negeri, khususnya Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, juga dapat membantu memudahkan penyelarasan urusan serta penyampaian bantuan kepada masyarakat.
“Isu PBT ini banyak berkait dengan kerajaan negeri dan bukannya sangat dengan kerajaan Persekutuan. Sebab itu penting untuk kita melihat bagaimana wakil rakyat boleh bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam menyelesaikan masalah rakyat,” katanya.
Sementara itu, calon BN DUN Bandar Hilir, Jasmine Lok berkata, pengalaman selama lima tahun sebagai Ahli Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) memberinya pemahaman mengenai struktur pentadbiran kerajaan serta operasi jabatan berkaitan.
Beliau yang mempunyai latar belakang dalam bidang komunikasi dari Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) berkata, penglibatannya dalam kerja khidmat masyarakat sejak 2011 turut memberi pendedahan secara langsung terhadap pelbagai isu dan aduan penduduk.
Katanya, antara masalah utama di Bandar Hilir ialah kesesakan lalu lintas, khususnya ketika musim cuti sekolah dan cuti panjang berikutan kawasan itu menjadi tumpuan pelancongan.
“Saya mempunyai pengalaman selama lima tahun sebagai ahli majlis, jadi saya sangat memahami struktur kerajaan dan tugas setiap jabatan.
“Sepanjang tempoh itu, saya sendiri turun padang berjumpa pegawai jabatan kerajaan dan wakil rakyat bagi membantu menyelesaikan masalah serta aduan masyarakat,” katanya.
Jasmine berkata, walaupun pertama kali bertanding sebagai calon pilihan raya, pengalaman bekerja bersama agensi kerajaan dan masyarakat menjadi asas kepada penglibatannya dalam menawarkan khidmat kepada penduduk Bandar Hilir.
PRN Melaka ke-16 menyaksikan 79 calon disahkan bertanding bagi merebut 28 kerusi DUN, dengan hari pengundian ditetapkan pada 14 November ini. – UMNO Online
