Subsidi Petrol: Mana Janji Belanjawan 2019 Kerajaan PH?

1. Merujuk kepada Ucapan Belanjawan 2019 oleh YB Menteri Kewangan Lim Guan Eng (LGE), Kerajaan Pentadbiran Pakatan Harapan (PH) berjanji untuk melaksanakan Subsidi Petrol Bersasar (SPB) yang didakwa boleh memberi manfaat kepada lebih 4 juta pemilik kereta dan 2.6 juta pemilik motorsikal.

2. Dalam ucapan pembentangan Belanjawan 2019, LGE telah menjanjikan SPB sebagaimana berikut:

(i) Terhad kepada pemilik sebuah kereta SAHAJA yang berkapasiti enjin 1,500cc dan ke bawah atau motorsikal berkapasiti enjin 125cc dan ke bawah.

(ii) Subsidi petrol RON95 sebanyak 30 sen seliter terhad kepada 100 liter sebulan bagi kereta atau 40 liter bagi motorsikal.

3. Walaupun RM2 bilion telah diperuntukkan melalui Belanjawan 2019 bagi tujuan tersebut, namun sehingga ke hari ini tiada sebarang berita mahupun pengumuman mengenai status perlaksanaan skim tersebut dibuat sedangkan minggu hadapan Belanjawan 2020 pula akan dibentangkan.

4. Menteri Kewangan YB LGE harus tampil memberikan penjelasan dan mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kegagalan pelaksanaan janji ini setelah dibentangkan di Parlimen dan diluluskan sebagai Perbelanjaan Kerajaan Persekutuan.

5. Justeru, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mendesak agar:

(a) YB LGE segera menjelaskan status pelaksanaan sistem subsidi petrol bersasar bagi RON95 secepat mungkin bagi menghormati komitmen Belanjawan 2019;

(b) Ke mana perginya peruntukan RM2 bilion yang telah diluluskan Parlimen bagi tujuan perlaksanaan sistem subsidi petrol bersasar ini?

6. Pemuda UMNO ingin tegaskan bahawa Kerajaan PH tidak boleh lagi berdalih dalam mengotakan janji Belanjawan 2019 sebagaimana seringkali mereka lakukan akibat gagal melaksanakan janji manifesto PRU. Ini kerana Subsidi Petrol ini telahpun dibahaskan dan diluluskan oleh Parlimen bagi Belanjawan 2019 dan rakyat khususnya kumpulan B40 yang kini tertekan dengan kos sara hidup amat menantikan janji PH kali ini!

Dr. Asyraf Wajdi Dusuki
Ketua Pemuda Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

4 Oktober 2019


Leave a Reply

Your email address will not be published.Required fields are marked *