10 Sebab Kenapa Tun Mahathir Wajar Singkirkan Dap Dan PKR Demi Maruah Melayu

Meneliti setiap patah kata yang keluar daripada ucapan perasmian Kongres Maruah Melayu oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed, ternyata buat kesekian kalinya beliau menzahirkan keresahan dan kebimbangan terhadap maruah orang Melayu yang kian tercalar dan tercabar.

Menginsafi kenyataan Tun yang menegaskan bahawa beliau sudah kesuntukan masa atas faktor usia, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dengan ini menyarankan agar Tun Mahathir mengambil langkah drastik dan segera untuk memulihkan maruah Melayu dengan menyingkirkan DAP dan PKR daripada Kerajaan beliau berasaskan 10 alasan berikut:

1. Keangkuhan pimpinan DAP dan PKR yang hampir-hampir berjaya membawa negara meratifikasi konvensyen antarabangsa ICERD, walaupun jelas bercanggah dengan Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan berkenaan dengan kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera di Sabah dan Sarawak.

2. Tindakan pimpinan DAP dan PKR yang berjaya mempengaruhi kerajaan sehingga menandatangani Statut Rom sebelum ditarik balik akibat desakan rakyat, yang jelas menghakis kedudukan Institusi Raja-Raja Melayu.

3. Penguasaan pemimpin kanan DAP dalam Kementerian Kewangan seperti Lim Guan Eng selaku Menteri dan Tony Pua Setiausaha Politik, telah ditanggapi umum banyak menghakis kepentingan ekonomi orang Melayu dan Bumiputera. Sebagai contoh penjualan aset-aset strategik milik insitusi Bumiputera-Islam dan tender terbuka yang dilaksanakan di semua peringkat perolehan Kerajaan telah membataskan ribuan kontraktor Bumiputera yang sering berhadapan dengan kekangan modal dan aliran tunai.

4. Penghinaan terhadap Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi sekaligus membelakangi Perlembagaan Persekutuan yang disepakati bersama apabila keangkuhan pemimpin-pemimpin Cina dan India daripada DAP dan PKR sewenangnya menggunakan bahasa mandarin dan tamil dalam surat menyurat, memo dan kenyataan-kenyataan rasmi kerajaan.

5. Kenyataan rasis berupa penghinaan kepada bangsa Melayu tanpa rasa bersalah oleh Menteri DAP Kulasegaran yang mendakwa orang Melayu adalah kaum pendatang di negara ini pada 21 Julai 2018. Sekali lagi dalam ceramah beliau yang tular sempena kempen PRK N27 Rantau di hadapan pengundi-pengundi berbangsa India, menuduh bahawa bangsa Melayu telah mendiskriminasi orang-orang India.

6. Pemimpin DAP YB Ngar Kor Ming telah membakar sentimen kaum dengan mendakwa kerjasama orang Melayu yang dizahirkan oleh dua parti terbesar mewakili Melayu UMNO-PAS bakal membentuk Kerajaan Taliban seperti di Afghanistan jika berjaya tubuh kerajaan. (8 Mac 2019)

7. Pemimpin DAP YB Chong Chien Jen bersetuju dan menyokong kenyataan YB Nga Kor Ming bahawa penyatuan Melayu bakal membentuk Kerajaan Taliban sekiranya menang PRU seterusnya telah mencetuskan perasaan takut, rasis dan prejudis di kalangan masyarakat bukan Islam terhadap orang Islam di negara ini. (9 Mac 2019)

8. Adun Mengkibol DAP YB Chew Chong Sin mengaitkan insiden pembunuhan tragik di sebuah masjid di Christchurch oleh ekstrimis kulit putih dengan penyatuan orang Melayu melalui kerjasama UMNO-PAS untuk menambahkan lagi perasaan perkauman dan prejudis agama di kalangan rakyat bukan Melayu dan Islam. (16 Mac 2019)

9. Seorang lagi Ahli Parlimen Kluang DAP, YB Wong Shu Qi telah menghina orang Melayu dan cuba membakar kebencian di kalangan orang Cina dengan mengaitkan tulisan Jawi dengan bahan-bahan pornografi dan lucah. (9 Ogos 2019)

10. Menteri dan Setiausaha Agung DAP YB Lim Guan Eng turut mencetuskan api kebencian dan perkauman dengan mendakwa permuafakatan Melayu UMNO dan PAS jika berjaya dibentuk akan mengambil hak-hak orang bukan Melayu di Malaysia. (19 Ogos 2019)

Berdasarkan alasan-alasan di atas, maka Pemuda UMNO sekali lagi menggesa agar Tun Mahathir Mohamed dapat melakukan tindakan yang betul pada kali ini sebelum terlambat untuk menyatukan semula orang Melayu dengan menyingkirkan pemimpin-pemimpin DAP dan segelintir pemimpin rasis PKR daripada Kerajaan beliau demi mengembalikan maruah Melayu sebagaimana yang diucapkan dalam Kongres Maruah Melayu hari ini!

Dr. Asyraf Wajdi Dusuki
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

6 Oktober 2019


Leave a Reply

Your email address will not be published.Required fields are marked *