Tun M, Cukuplah… Penolakan Kerana Rencana Tun Sendiri, ‘Perangkap Makan Tuan’

TUN Mahathir telah menuduh Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY) mengkhianati beliau dan parti hanya kerana Tun Mahathir beranggapan bahawa jawatan Perdana Menteri adalah untuk beliau dan beliau selamanya.

Telah sampai waktunya Tun Mahathir mengakui bahawa penolakan terhadap dirinya adalah kerana rencana Tun Mahathir sendiri. Ia perangkap makan tuan. Bukankah Tun Mahathir meletak jawatan kerana tidak mahu bekerjasama dengan UMNO-PAS?

Tetapi pada masa yang sama, Ahli-Ahli Parlimen parti Tun Mahathir sendiri juga yang mencalonkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri ke-8(PM8). Dan bukannya Datuk Seri Anwar Ibrahim, walaupun itulah perjanjian mereka di dalam Pakatan Harapan.

Kini, saat Tan Sri Muhyiddin diangkat sebagai PM8, kenapa pula beliau dianggap sebagai pengkhianat?

Tan Sri Muhyiddin hanya muncul sebagai calon setelah wujud kebuntuan kerana sandiwara Tun Mahathir yang sangat lemah sutradaranya.

Malah Tun Mahathir seharusnya menghargai sikap bertanggungjawab Tan Sri Muhyiddin saat Tun Mahathir melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi Bersatu secara tiba-tiba.

Kepimpinan parti sangat terkejut dan terkapai-kapai mencari arah. Tetapi Tan Sri Muhyiddin memastikan BERSATU tidak berantakan dan kekal berpadu ketika negara berhadapan dengan krisis politik ekoran tindakan Tun Mahathir melepaskan pelbagai jawatannya.

Maka kerana itulah, UMNO dan PAS mengambil keputusan menyokong beliau untuk memimpin negara ini walaupun UMNO dan PAS mempunyai jumlah kerusi yang jauh lebih besar dari BERSATU.

Memanglah lumrah kepada Tun Mahathir, bahawa semua orang harus dipersalahkan kecuali dirinya sendiri.

Tetapi kali ini, beliau benar-benar telah tewas tanpa dijangka di tangan Tan Sri Muhyiddin.

Sesungguhnya manusia merencana, tetapi rencana Allah lagi hebat dan sangat misteri.

Tun, izinkanlah beliau menerajui negara ini sementara Tun Mahathir berehatlah. Negara akan selamanya berterima kasih kepada Tun Mahathir. Segala jasa akan kami kenang dan segala bakti akan kami ingati seabadinya.

Berikanlah juga ruang untuk kerjasama politik terbaru ini membuktikan keupayaan mereka mengurus negara ini.

Saya yakin, jalan ke hadapan yang bakal dinakhodai Tan Sri Muhyiddin pasti berliku. Ia tidak akan mudah dan pasti banyak geloranya.

Sama ada Perdana Menteri ke-8 mampu atau tidak mendepaninya, biarlah rakyat yang menghakimi beliau.

Waktu ini kami yakin, beliau akan melakukan perkara yang betul untuk Malaysia di bawah pemerintahannya. Seperti mana keyakinan rakyat Malaysia semasa Tun Mahathir memenangi PRU ke 14.

Kepada seluruh rakyat Malaysia, marilah kita menitipkan doa dan kepercayaan terbaik kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
Naib Presiden UMNO


Tinggalkan Balasan

Your email address will not be published.