Transformasi Kepada Kerajaan Digital Secara Total

South China Morning Post pada 6 April 2020 berhujah mengatakan dapatan saintifik mendapati bahawa pandemik coronavirus akan terus muncul dengan lebih kerap dengan impak yang sangat mengerunkan. Akhbar tersebut itu dengan tegas menyatakan bahawa “we need to be thinking about pandemics in the same way we think about climate change”.

Kerana itulah dalam tulisan saya sebelum ini, saya nyatakan bahawa ancaman keselamatan “bukan tradisional” akan menjadi ancaman paling besar kepada Malaysia. Negara akan terus dihantui oleh pandemik dan wabak pathogen sepertimana kita di hantui oleh krisis iklim yang membarah.

Malaysia mesti meningkatkan kesiapsiagaannya terhadap semua ini. Cabaran terpenting ialah bagaimana Kerajaan berfungsi dalam krisis sebegini. Kerana hanya kepada Kerajaan sahajalah satu-satunya sandaran untuk kelangsungan kehidupan dan keselamatan dalam waktu luar biasa seperti ini.

Justeru sistem penyampaian Kerajaan mesti segera beranjak ke persada digital secara total. Lihat sahaja bagaimana sistem persekolahan kita yang gagal beroperasi dengan mode digital secara sistematik dan ‘seamless’ dalam waktu pandemik sebegini.

Banyak sekali masa pembelajaran terbuang. Menghantar tugasan melalui whatsapp ataupun email bukan pembelajaran online. Apatah lagi bila ramai ibu bapa terpaksa mengutamakan wang untuk membeli makanan daripada data Internet, kerana kesusahan hidup dan tarif data yang mahal. Oleh yang demikian, sangatlah penting untuk KPM memberikan kejelasan bagaimana urusan persekolahan kita harus beroperasi secara produktif dari sekarang jika keadaan ini berlarutan.

Sistem penyampaian digital secara total mesti menjadi kepentingan nasional yang diutamakan dan dilaksanakan secara radikal, dengan mengutamakan tiga perkara berikut.

Pertama, meluaskan prasarana rangkaian Internet terutamanya kepada kawasan unserved dan underserved. Segala jurang ini harus ditutup segera. Kerajaan wajar mempertimbangkan penubuhan syarikat penyedia perkhidmatan Internet dengan tujahan inovasi dalam penyediaan perkhidmatan Internet khusus kawasan luar bandar.

Kedua, penyediaan satu pelantar digital berpusat dan terpadu, yang membolehkan segala urusan bersama pelbagai Kementerian dan agensi kerajaan dilakukan secara online dalam satu portal, akaun, sistem atau saluran, tidak boleh lagi tertangguh. Ia akan mengurangkan birokrasi, memaksimumkan ketelusan sekali gus meningkatkan kecekapan dan kecepatan urusan.

Ketiga, kita mesti membuka seluas-luasnya ruang persaingan untuk penyediaan pelbagai perkhidmatan jalur lebar. Hanya melalui persaingan, tarif data akan menjadi lebih murah dan kompetitif. Malah kepada segmen tertentu dalam masyakat, data percuma untuk tujuan pembelajaran, keusahawanan dan khidmat masyarakat harus disediakan.

Pandemik Covid 19 ini memberi kita satu pengajaran besar. Bahawa sistem penyampaian Kerajaan mesti kalis krisis dan tidak boleh dilumpuhkan. Tranformasi kepada Kerajaan Digital secara total adalah tindakan radikal yang Malaysia sangat perlukan.

Hanya dengan demikian, Kerajaan akan dapat melakukan tugasnya melindungi rakyat dalam apa jua keadaan sekalipun.

Dato’ Seri Utama Mohamad bin Haji Hasan
Timbalan Presiden UMNO


Tinggalkan Balasan

Your email address will not be published.