Pertimbangkan Semula Buka Perniagaan ‘Non-Essentials’, Keselamatan Dan Kesihatan Umum Tidak Boleh Dikompromi

Kerajaan Malaysia telah memutuskan pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 28 April 2020.

Walaubagaimanapun, beberapa jenis perniagaan dan perkhidmatan dibenarkan beroperasi seperti sektor pembinaan, penyelidikan dan pembuatan. Kerajaan juga membenarkan operasi kedai dobi dan kedai gunting rambut beroperasi semula.

Namun, keputusan untuk membuka semula beberapa jenis perniagaan harus diberi pertimbangan semula sesuai seruan Kementerian Kesihatan Malaysia dan reaksi orang ramai.

Operasi perniagaan seperti kedai gunting rambut dan dobi sebaiknya perlulah ditangguhkan kerana ia bukan keperluan mendesak atau non-essentials. Malah penganjuran bazar Ramadhan juga tidak seharusnya diberikan kelonggaran.

Reaksi orang ramai terhadap pembukaan perkhidmatan ‘non-essentials’ ini jelas tidak bersetuju. Malah kebanyakan pemain sektor tersebut juga telah menyuarakan kebimbangan mereka untuk beroperasi dalam keadaan pandemik sebegini.

Pelaksanaan PKP mesti dikuatkuasakan dengan tegas sehingga Malaysia berjaya mencapai unjuran kes COVID-19 yang agak stabil.

Keutamaan kerajaan ialah memastikan kepentingan kesihatan umum tidak di kompromi dalam apa jua keadaan.

Setiap dari kita harus memainkan peranan dalam menyumbang kepada survival komuniti kita. Tiada yang lebih penting dari memelihara nyawa dan keselamatan umum.

Insyallah, sebaik sahaja pandemik ini berakhir, kita boleh bergaya semahunya dengan apa jua penampilan, berhari raya sepuasnya, menganjurkan pelbagai bazar dan bukan sekadar bazar Ramadhan dan melakukan ziarah-menziarahi saudara-mara dan rakan taulan selayaknya.

Sehingga saat itu tiba, tugas semua kita ialah memutuskan rangkain pandemik ini dan mengurangkan jangkitan. Duduklah rumah, jaga kebersihan dan amalkan penjarakkan fizikal !

Dato’ Seri Utama Mohamad bin Haji Hasan
Timbalan Presiden UMNO


Tinggalkan Balasan

Your email address will not be published.