Barisan Hadapan Terus Dihargai, Terima Anugerah Hari UMNO – SUA

KENYATAAN MEDIA
SETIAUSAHA AGUNG UMNO

UMNO Malaysia hari ini menyampaikan Anugerah Hari UMNO kepada Barisan Hadapan (frontliners) memerangi Covid-19 sebagai menghargai pengorbanan petugas bekerja tanpa henti menyabung nyawa bagi menjaga keselamatan dan kesihatan rakyat daripada dijangkiti wabak berkenaan.

Presiden UMNO, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menyampaikan anugerah itu kepada Timbalan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara, Datuk Haji Rodzi bin Md Saad, dalam satu majlis ringkas di pejabat beliau di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Anugerah berbentuk cenderahati dan sijil penghargaan itu akan diberikan kepada 16 agensi (senarai pertama) yang terlibat dalam pelbagai tugasan mengurus, mengawal dan memulihkan negara daripada wabak Covid-19.

Agensi-agensi berkenaan adalah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia, Polis Di Raja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Di Raja Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia (MCMC), Radio Televisyen Malaysia (RTM), Media Prima Berhad, Astro Malaysia, Pertubuhan Berita Nasional (BERNAMA) dan Pos Malaysia Berhad.

Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid berkata beliau menghargai sumbangan dan pengorbanan kesemua agensi serta ramai pihak lain termasuk orang perseorangan. Beliau berkata majlis penyerahan sijil dan cenderahati penghargaan kepada agensi-agensi lain akan disempurnakan oleh Datuk Seri Ahmad bin Maslan, Setiausaha Agung UMNO pada masa yang akan ditentukan kelak.

Sebelum itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid mengadakan sesi sidang video dan ucap selamat Menyambut Hari UMNO bersama 13 Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri serta 3 wakil Kelab UMNO Luar Negara. Sidang video selama 1 jam 10 minit itu diadakan menerusi aplikasi Webex.

Pada jam 9.00 pagi sebelum itu, Setiausaha Agung UMNO menyempurnakan majlis menaikkan bendera UMNO bersama-sama Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan, Penolong Setiausaha Wanita, Pemuda dan Puteri serta Ketua-ketua Jabatan Ibu Pejabat UMNO.

Acara menaikkan bendera Sang Saka Bangsa itu yang diiringi nyanyian lagu Bersatu-Bersetia-Berkhidmat, diadakan di perkarangan Menara Dato’ Onn. Ia dilakukan mengikut pematuhan prosedur PKPB dengan memakai mask dan penjarakan sosial.

DATUK SERI HAJI AHMAD BIN HAJI MASLAN
11 MEI 2020