Buktikan Kejujuran Sokongan Perkongsian Kuasa Dengan Kemenangan BN

APAKAH nilai perkongsian kuasa jika tidak ada sokongan untuk kemenangan kepada calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.

Demikian tegas Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mahukan jumlah undi yang bakal dimenangi BN di PRK Slim bukan hanya melebih jumlah undi yang diperoleh dalam PRU lalu tetapi juga mengambil kira jumlah 4,000 dari PAS dan 6,000 dari PPBM.

“Kalau tak dapat harus tanya semula apakah nilai perkongsian kuasa jika tidak ada sokongan untuk kemenangan.

“Jika mahu berkongsi biarlah dengan perkongsian sepenuhnya, tidak ada agenda dibelakang tabir kerana kita tidak mahu UMNO dan BN dijadikan batu loncatan.

“Jangan main-main dengan BN dan Muafakat Nasional kerana mesej kita hanya satu iaitu buktikan jujur dengan ikhlas untuk perkongsian kuasa,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Jentera Pemuda BN PRK Slim yang diadakan di Pusat Operasi BN, Tanjung Malim, Sabtu lalu.

Kata Zahid lagi, PRK Slim adalah masa yang sesuai untuk membuktikan bahawa sokongan parti tetap kepada BN.

“Ini masa sesuai untuk pemuda MCA buktikan bawa sokongan tetap kepada BN dan akan dapat mencapai jumlah pengundi Cina yang ditetapkan iaitu 600 malah boleh menjadi hingga 1,200 undi.

“Untuk MIC, Makkal Sakti, IPF pastikan rampas kembali sokongan yang kita kalah dalam PRU lalu dan buktikan kali ini sokongan kepada BN.”

Tegasnya lagi, untuk Bersatu (PPBM) juga perlu buktikan jentera mereka bersama kita bagi memenangkan BN kerana kita mendukung Perikatan Nasional

“Ini kerana kemenangan PRK Slim nanti akan jadi penanda aras untuk untuk kemenangan BN dalam PRU ke-15 nanti.”

Dalam ucapannya, Zahid juga memaklumkan BN memberikan kuasa kepada Pemuda BN berperanan sebagai ‘polling agents’, ‘counting agents’ dan ‘barong agents’ (PACABA).

Sebelum mengakhiri ucapannya, beliau turut mengajak jentera Pemuda BN untuk melafaz ikrar berbunyi:

“Bahawa kami pemuda BN, MN berikrar, berjanji mahu bekerja keras memenangkan calon BN. Kami berjanji akan bekerja dengan penuh komitmen.”

Terdahulu Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad memaklumkan bahawa 41 peratus pengundi DUN Slim adalah yang berusia 41 tahun ke bawa maka tugas jentera Pemuda untuk memastikan mereka mengundi BN dan menang pada 29 Ogos nanti.

Selain Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi bersama barisan jenteranya, turut bersama dalam majlis ini ialah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan bersama barisan Pemuda komponen BN antaranya Pemuda MCA, Pemuda MIC, Pemuda Makkal Sakti dan Pemuda IPF.

Turut memberikan sokongan ialah barisan kepimpinan Muafakat Nasional, PAS dan Armada.

SPR menetapkan 14 hari sebagai tempoh berkempen yang bermula dengan penamaan calon pagi.

PRK DUN Slim menyaksikan pertembungan tiga penjuru melibatkan calon BN, Mohd Zaidi Aziz akan di tentang dua calon Bebas S Santharasekaran dan Amir Khusyairi Mohamad Tanusi.