PRN Sabah: BN, UMNO Sabah Diberi Kuasa Penuh Terjemahkan Autonomi

MENJELANG Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, seluruh jentera Barisan Nasional Sabah (BN Sabah) dan UMNO Sabah, telah diarahkan untuk bersiap-siaga bagi menghadapi PRN berkenaan.

BN Sabah telah diberikan kuasa autonomi oleh Dewan Tertinggi BN dalam sidang yang diadakan baharu-baharu ini.

Manakala kuasa autonomi UMNO Sabah telah disahkan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2019.

Justeru untuk merealisasikannya, saya selaku Pengerusi BN dan Presiden UMNO dengan ini, menyerahkan kepada seluruh jajaran kepimpinan BN Sabah dan UMNO Sabah menggunakan seluruh kebijaksanaan dan strategi untuk menterjemahkan kuasa autonomi yang telah diberikan.

Bagi pelaksanaannya, keputusan-keputusan berikut telah diambil:

1. YB Dato’ Seri Bung Moktar Radin, selaku Pengerusi BN Sabah dan Pengerusi UMNO Sabah untuk mengetuai jentera BN Sabah dan UMNO Sabah bagi menghadapi PRN Sabah.

2. Mengadakan rundingan untuk pembahagian kerusi bersama-sama dengan parti-parti politik di Sabah.

3. Penentuan calon-calon bagi semua kerusi di 73 Dewan Undangan Negeri Sabah, setelah rundingan dimuktamadkan.

4. Memilih seorang Ketua Menteri dalam kalangan ADUN apabila mendapat kemenangan dengan majoriti mencukupi bagi pembentukan Kerajaan Negeri Sabah yang baharu.

Demi menghormati kuasa autonomi yang diberikan, saya dengan ini memberi kepercayaan bagi pelaksanaan keempat-empat keputusan berkenaan kepada BN Sabah dan UMNO Sabah agar menggunakan sepenuh kebijaksanaan, rundingan dan kompromi bagi merealisasikannya.

AHMAD ZAHID HAMIDI

Pengerusi BN dan Presiden UMNO
Kuala Lumpur
18 Ogos 2020