MN Setahun: Moga Persahabatan Tetap Kekal Walau Datang Dugaan, Ujian

KETUA Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad berharap persahabatan antara dua parti orang Melayu/Islam terbesar di negara ini UMNO dan PAS tetap kekal walau pelbagai dugaan dan ujian hadir.

“14 September 2019 akan diingati sebagai hari bersejarah kepada masyarakat orang Islam apabila dua parti terbesar negara ini duduk bersama di atas pentas melafazkan…

“Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang Dengan Izin Allah SWT, sesungguhnya UMNO dan PAS dengan setulus hati mengisytiharkan pembentukan suatu Muafakat Nasional yang membawa agenda penyatuan ummah bagi mensejahterakan Malaysia yang majmuk.”

Tambahnya, walaupun hari ini genap setahun peristiwa tersebut namun perjuangannya masih jauh dan berliku.

Untuk rekod, detik 14 Sept tahun lalu menjadi satu sejarah buat tanah air apabila UMNO dan PAS menandatangani Piagam Muafakat Nasional, yang disaksikan ratusan ribu rakyat membanjiri Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, tidak termasuk yang menyaksikan secara langsung di saluran media sosial.

Piagam berkenaan ditandatangani oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan PAS pula diwakili oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sejurus selesai ucapan kedua-dua presiden parti terbesar orang Melayu/Islam berkenaan yang membawa agenda penyatuan ummah bagi mensejahterakan Malaysia yang majmuk.

Antara komitmen Piagam Muafakat Nasional adalah seperti menjunjung dan mempertahankan keluhuran Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin pembentukan Negara, Islam sebagai Agama Persekutuan, Kedaulatan Raja-Raja Melayu, Kedudukan Istimewa Orang Melayu dan Bumiputera serta kepentingan sah kaum-kaum lain, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan serta Menjamin Kepentingan Masyarakat Majmuk Terpelihara.

Begitu juga mengikhtiarkan secara kolektif satu citra dan tawaran baru untuk negara dalam meningkatkan tadbir urus yang baik, dasar pembangunan yang inklusif dan sejahtera serta pengagihan yang menyuburkan keadilan sosial merentasi batas warna kulit dan anutan.