Melemahkan UMNO Tak Semudah ‘Mencetak Wang’ – Zahida

KUALA LUMPUR, 24 Feb – UMNO ternyata sebuah parti yang kekal relevan walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran dalam membela nasib rakyat.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia Datuk Zahida Zarik Khan berkata ini kerana ahli akar umbi yang menjadi tunjang parti sentiasa membantu dalam mengukuhkan parti ini.

“Hidup mati UMNO bukan di tangan kamu. Kamu boleh tanya pada rakyat dan lebih 3 juta ahli UMNO, adakah parti ini sudah tidak relevan?

“Alhamdulillah, ‘pohon’ UMNO masih kukuh dikuatkan oleh akar umbinya yang setia,” katanya menerusi satu hantara di Facebook.

Menurut Zahida, parti keramat ini telah banyak menyumbang kepada negara dan akan terus berjuang seperti yang dilakukan sejak penubuhan parti ini 75 tahun yang lalu.

Tambah beliau, kenyataan seorang pemimpin daripada Bersatu baru-baru ini yang menempelak zaman UMNO sudah berakhir sebagai tidak wajar.

“Ironinya, boss kamu dahulu Tun Mahathir mengaku ‘masih sayang UMNO’.
Jadi zaman siapa yang sudah berakhir?

“Kami sudah biasa dengan serangan demi serangan, tapi untuk melemahkan parti ini tidaklah mudah, tidak semudah ‘mencetak wang’,” katanya. – UMNO Online