Wanita Berperanan Penting Pastikan Kebangkitan Penuh Parti Untuk PRU-15 Bersama Pemuda, Puteri UMNO – Zahid

KUALA LUMPUR, 27 Feb – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkeyakinan Wanita UMNO Malaysia akan terus memainkan peranan penting dalam memastikan kebangkitan penuh UMNO pada Pilihan Raya Umum (PRU) 15.

Katanya, bersama-sama Pemuda dan Puteri UMNO terus bangkit dalam usaha membantu parti untuk terus bergerak ke hadapan dalam mendepani cabaran hari ini.

Jelasnya, kelmarin beberapa ahli Wanita UMNO Malaysia meminta beliau menulis tentang pandangan berhubung peranan Wanita UMNO Malaysia.

“Alhamdulillah, semalam saya berkesempatan meluangkan masa memenuhi hasrat mereka. Saya terlebih dahulu memenuhi permintaan mereka dengan menulis kata-kata yang berbunyi ‘tangan yang menghayun buaian boleh menggoncang dunia’.

“Dalam peribahasa ini, kaum wanita telah digambarkan secara hebat dalam sebuah ungkapan yang cukup padat. Bagi saya, kata-kata itu sudah cukup untuk menggambarkan betapa tinggi pandangan saya terhadap peranan wanita dalam perjuangan parti keramat UMNO.

“Ia secara tersirat bermaksud wanita walau bersifat lemah-lembut dan keibuan, peranan, sumbangan dan jasa mereka dalam membangunkan UMNO tidak boleh disangkal,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menjelaskan sejarah pernah menyaksikan perjuangan Wanita UMNO dalam memupuk kesedaran serta semangat tinggi dalam kalangan kaum wanita untuk mengisi kemerdekaan.

Seterusnya tambah Ahmad Zahid lagi, sejarah menyaksikan betapa bingkas perjuangan Wanita UMNO Malaysia dalam memartabatkan kedudukan kaum wanita di negara ini.

“Melalui berbagai-bagai cabaran dan bersama-sama dengan tenaga UMNO keseluruhannya mengatasi cabaran tersebut.

“Kerana itu sebelum saya diamanahkan oleh akar umbi memimpin UMNO, saya telah pun tahu betapa berpengaruh dan pentingnya peranan wanita dalam perjuangan parti keramat ini.

“Malah tidak pernah sesekali saya mahupun pemimpin UMNO sebelum-sebelum saya menidakkan atau memandang tidak mustahak peranan Wanita UMNO,” katanya lagi.

Justeru, katanya, hari ini Wanita UMNO Malaysia merupakan komponen UMNO terbesar, malah terdapat cawangan-cawangan dan bahagian-bahagian, ahli Wanita UMNO melebihi ahli lelaki.

“Kerana itu Wanita UMNO Malaysia sentiasa digeruni lawan politik kerana statusnya sebagai ‘tulang belakang’ parti sejak sekian lama.

“Benar, seperti juga ahli UMNO lelaki, ada juga dalam kalangan mereka yang tersasar daripada perjuangan. Ibarat katak mencari hujan. Malah wanita lazimnya berketuakan tokoh yang mengutamakan parti dan tidak dirinya.

“Satu penghormatan yang besar kepada kesetiaan ahli Wanita UMNO Malaysia diatas perjuangan agama, bangsa dan negara,” ujarnya lagi. – UMNO Online