‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’… Dukungan Ahli Pastikan UMNO Tetap Relevan

PERJUANGAN Relevan… UMNO Pulih???

Tahun ini UMNO berusia 75 tahun dan bakal menyambut ulang tahun Jubli Intannya pada 11 Mei hadapan.

Alhamdulillah, saya masih istiqamah dalam perjuangan UMNO kerana saya yakin bahawa UMNO masih kekal dengan asas tujuannya iaitu sebagai sebuah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita Kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat agama, bangsa dan negara. Itulah yang tertulis dalam Buku Perlembagaan UMNO.

Sungguh, selepas 9 Mei 2018 bukan hanya saya tapi mana-mana ahli UMNO berdepan dengan macam-macam cabaran. Ada yang awal-awal apabila mendapat keputusan melompat ke sebelah sana, ada yang tak mampu berdepan tekanan juga ambil jalan sama… tapi apa yang paling membanggakan ahli-ahli UMNO di akar umbi masih kekal pertahankan parti hingga kini.

Sehingga ke hari ini, masih ada cakap-cakap yang mendakwa bahawa UMNO ditolak akar umbinya… sedangkan akar umbi UMNO tetap bertunjang sebaliknya, anggota parti yang gagal bersetia menjadi seperti daun gugur yang tak beri kesan pada akarnya.

Dari UMNO menjadi kerajaan bersama Barisan Nasional, bergelar pembangkang dan hari ini menjadi sebahagian dari kerajaan, nama UMNO kekal disebut-sebut, termasuklah dari mulut mereka yang telah melompat dan meninggalkan parti.

Lebih teruk lagi apabila pihak yang nak ‘membunuh’ UMNO, menyebut UMNO sudah mati, UMNO tidak relevan dan macam-macam lagi masih juga beratib hal-hal yang sama dalam pentas politik mereka. Masih juga nama UMNO dijaja nak menghidupkan retorik dalam penceritaan mereka. Mungkin UMNO sudah berakar dalam hati mereka…?

Perkembangan dalam politik tanah air sejak UMNO tidak menjadi kerajaan sebenarnya menyingkap siapakah yang benar-benar ikhlas melaksakan perjuangan demi agama, bangsa dan negara. Bukan hanya lihat pada UMNO tetapi juga individu, tokoh, negarawan atau sesiapa sahaja berdasarkan kepada tingkah dan laku mereka.

Memang nama UMNO dicanang korup dan rasuah, dituduh bermasalah, difitnah dengan pelbagai kata-kata jelek yang antaranya menjadi penyebab kepada gagalnya Barisan Nasional mendapat majoriti dalam pilihan raya yang lalu.

UMNO berdepan dengan segala macam realiti biarpun selalunya setiap kebaikan akan dimanipulasi oleh lawan. Jadi pembangkang pun UMNO tetap dedikasi, kembali berkongsi kerajaan UMNO masih juga laksanakan khidmat bakti, sebaliknya pihak lawan pula yang goyah.

UMNO tetap UMNO. Biarlah ahli dan pemimpinnya yang tentukan hala tuju tanpa ada orang bukan dalam parti yang panas punggung. Mahu lihat relevan atau tidak perjuangan UMNO… lihatlah saja anggota akar umbinya kerana UMNO didukung oleh ahli-ahlinya yang tetap kekal ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’. InsyaAllah kita teruskan…

TENGKU ADNAN TENGKU MANSOR
BENDAHARI UMNO