Parlimen Harus Bersidang, Jangan Mandulkan Amalan Demokrasi Berparlimen – Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 4 Mac – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia memandang serius kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkenaan keputusan Jemaah Menteri yang bersetuju sidang Parlimen ditangguhkan hingga 1 Ogos depan bagi membolehkan kerajaan memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha melawan COVID-19.

Jelas ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dususki, keputusan ini bercanggah dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri.

“Malah Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, perkara itu termaktub dalam subperenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri.

“Malah tegas Pengelola Bijaya Diraja lagi bahawa ‘…tanggapan sesetengah pihak bahawa pelaksanaan proklamasi darurat menghalang Parlimen untuk bersidang adalah tidak tepat’,” katanya dalam kenyataan berkaitan hal terbabit.

Tegas beliau, bagi Pemuda UMNO, Parlimen harus dibenarkan bersidang dengan SOP ketat dalam situasi Covid-19, bagi membolehkan keberkesanan mekanisme semak dan imbang buat kerajaan sebagaimana tuntutan dan amalan demokrasi.

“Rakyat tentu sekali sukar untuk menerima alasan penangguhan Parlimen yang dibuat Kerajaan bahawa sebahagian besar anggota parlimen merupakan kumpulan berisiko dijangkiti COVID-19.

“Sedangkan pasar malam, pusat-pusat membeli belah, kedai makan, restoran hatta sekolah rendah dan menengah juga telah dibenarkan beroperasi dalam tempoh darurat. Malah proses vaksinisasi juga sudah dimulakan terhadap Ahli-Ahli Parlimen.

“Kerajaan tidak seharusnya dilihat takut dan cuba untuk memandulkan institusi demokrasi dengan menafikan suara dan mandat rakyat kepada Ahli-Ahli Parlimen untuk berbahas dan membawa isu dan masalah mereka di Parlimen.”

Justeru katanya lagi, Pemuda UMNO sekali lagi memohon agar kerajaan mengkaji semula keputusan untuk menangguhkan Parlimen dan menghormati titah nasihat Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk mengadakan sidang Parlimen dalam tempoh Darurat.

Semalam, Takiyuddin memaklumkan bahawa persidangan Parlimen bukan digantung tetapi ditangguhkan atas faktor perundangan, sains serta data pandemik COVID-19 ketika ini selain bagi membolehkan usaha kerajaan memerangi pandemik COVID-19 berjalan dengan lancar.

Beliau turut dipetik berkata Ahli Parlimen sebagai petugas barisan hadapan bekerjasama tangani COVID-19 di kawasan masing-masing dan kerajaan serius merangka strategi bendung penularan wabak ini serta tidak mahu merisikokan ahli Parlimen yang rata-ratanya boleh dikategorikan sebagai kumpulan berisiko tinggi dijangkiti COVID-19 kerana
daripada 220 ahli Parlimen, 77 daripadanya berusia 61 hingga 69 tahun, 19 orang berusia 70 hingga 79 tahun dan empat lagi berusia 80 tahun ke atas. – UMNO Online