PAU 2020: Alhamdulillah… UMNO Komited Laksanakan Tanggungjawab Parti

NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin melahirkan rasa syukur apabila UMNO dapat melaksanakan tanggungjawabnya dengan mengadakan Perhimpunan Agung UMNO 2020 yang dijadualkan pada 27 dan 28 Mac ini.

Menurut beliau walaupun berdepan dengan pandemik COVID-19, UMNO menyesuaikan keadaan tersebut dengan perhimpunan normal baharu sekaligus mencerminkan komitmen parti berkenaan menjaykan perhimpunan tahunannya.

“Saya ingin mengucapkan tahniah dan mengalu-alukan Perhimpunan Agung UMNO bagi tahun 2020 yang diadakan pada tahun 2021 memandangkan kita masih lagi berdepan dengan wabak COVID-19.

“Saya gembira kerana walaupun kita berdepan dengan pandemik ini, UMNO masih dapat melaksanakan tanggungjawabnya walaupun dalam keadaan yang tidak normal dan ini mencerminkan bahawa kesungguhan dan komitmen parti untuk melaksanakan tanggungjawabnya,” katanya kepada UMNO-Online.

UMNO akan mengadakan perhimpunan agungnya bagi tahun 2020 pada 27 dan 28 Mac depan dengan suasana baharu.

Khaled seterusnya mengharapkan Perhimpunan Agung UMNO ini akan dapat menyuntik semangat dan perjuangan yang cukup tinggi di kalangan ahli serta para pemimpin secara keseluruhan di seluruh negara.

“Saya harap pada perhimpunan ini ianya akan kembali menyuntik semangat dan perjuangan pemimpin dan juga ahli-ahli UMNO. Walaupun kita tidak bersemuka, melalui cara baharu ini kita dapat meningkatkan semangat dan komitmen kita untuk terus bekerja kuat bagi kita menjayakan parti UMNO.

“Semangat tetap sama walaupun cara kita bersidang berbeza dan sudah tentulah melalui perhimpunan agung ini, ianya akan digunakan untuk kita membangkitkan serta melakukan ikrar semula kita untuk mempertahankan parti kita.

“Saya berharap kita semua dalam keadaan sentiasa bersedia kerana terutama dalam soal untuk kita mendapat sokongan serta kepercayaan rakyat bahawa kita sebagai sebuah parti yang sudah lama kitaakan pastikan Malaysia ini dapat kita jaga dengan baiknya,” ujarnya.