Contohi Baddrol Bakhtiar, Pemain Yang Sangat Setia Kepada Pasukannya

SAYA akui saya ini kurang berminat tentang bola sepak kerana kecenderungan saya lebih kepada motosikal. Bagaimanapun semalam saya ada terbaca mengenai profil pemain bola sepak kebangsaan dan rasa sangat tertarik dengannya.

Baddrol Bakhtiar, pemain bola sepak Kedah. Rekod memperlihatkan beliau menjaringkan banyak gol bersama pasukan kebangsaan dan negeri dengan memenangi banyak trofi.

Ibunya berasal dari Kampung Lanjut Manis, Tanjung Ipoh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan manakala bapanya dari Kampung Gemetir, Terachi juga di daerah yang sama.

Baddrol dilahirkan di Sarawak memandangkan bapanya yang juga anggota ATM bertugas di negeri terbabit.

Namun, Baddrol dibesarkan dan bersekolah di Sungai Petani, Kedah iaitu negeri terakhir tempat bapanya bertugas.

Apa yang saya mahu katakan adalah Baddrol adalah seorang individu yang sangat setia. Jiwa dan raganya tetap bersama Kedah. Sepanjang kariernya beliau tidak pernah berhijrah bersama pasukan lain biarpun rakan seangkatan melakukannya dengan tawaran puluhan ribu hingga ratusan ribu ringgit sebulan.

Bayangkan betapa besar pengorbanan itu. Beliau statik hanya untuk satu pasukan. Inilah yang dikatakan ketawa bersama menangis bersama ku bersumpah harap kita mati pun bersama. Seperti dalam lagu Teman Pengganti nyanyian Black dan Malique.

Dalam dunia ini, tidak mudah untuk mencari orang seperti ini. Senang sama-sama susah pun sama-sama.

Saya membaca sejarahnya. Beliau mula mewakili pasukan Piala Presiden Kedah sebelum diserapkan ke skuad negeri pada 2006. Pada edisi 2006/2007 dan 2007/2008

Baddrol mengecap nikmat kejayaan apabila pasukannya memenangi Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.

Ia double treble. Enam piala utama bagi dua tahun berturut-turut. Namun pada 2012 Kedah tersungkur ke Liga Perdana namun kesetiaan Baddrol tetap bersama Kedah.

Beliau tidak pernah menyatakan hasrat untuk berpindah ke pasukan lain. Dan kesetiaan itu bertahan hingga kini. Apabila saya membaca sejarahnya, saya amat menghormati Baddrol Bakhtiar.

Inilah yang dikatakan jatuh bangun bersama. Bagi saya Baddrol Bakhtiar adalah akar umbi yang sangat baik. 16 tahun kesetiaannya.

DATO’ SERI DR AHMAD ZAHID HAMIDI
PRESIDEN UMNO