Kekeliruan Penggulungan PAU 2020, Ahmad Zahid Beri Penjelasan

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.

Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT atas limpah kurnia-Nya Persidangan Agung UMNO 2020 yang berlangsung sejak semalam menutup tirainya hari ini.

Saya menzahirkan jutaan terima kasih kepada semua perwakilan yang meluangkan masa untuk hadir dan tidak lupa juga kepada ahli UMNO yang mengikutinya secara maya.

Saya doakan ahli-ahli UMNO terus istiqamah untuk memperjuangkan nasib parti ini.

Saya mengambil maklum bahawa terdapat sedikit kekeliruan dalam ucapan penggulungan Persidangan Agung UMNO 2020 yang saya sampaikan di PWTC pada petang ini.

Dalam ucapan yang saya sampaikan sebentar sahaja tadi, saya ada menyentuh mengenai Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia yang juga merupakan Menteri Pengajian Tinggi dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Dalam penggulungan itu, saya nyatakan bahawa 8 jurucakap Wanita dari negeri-negeri berpendapat sama seperti Ketua Pergerakan Pemuda UMNO dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia.

Perihal itu berkaitan bahawa mengambil kira denyut nadi bersama, Ahli Parlimen UMNO hendaklah mengundur diri daripada jawatan Menteri, Timbalan Menteri serta Pengerusi-Pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Maksud yang ingin saya ketengahkan adalah Datuk Seri Dr Noraini Ahmad juga adalah seorang menteri daripada parti ini. Saya tidak tujukan secara spesifik kepada beliau, tetapi secara keseluruhan Ahli Parlimen UMNO yang berada dalam kerajaan.

Suara yang ingin saya ketengahkan adalah, ingatlah bahawa jawatan yang disandang itu adalah amanah daripada UMNO dan jika ada seseorang yang menikam UMNO dari belakang, ingatlah jika bukan kerana UMNO tidak mungkin kita akan berada di bilik berpenghawa dingin, berkerusi empuk bahkan merasai semula jawatan menteri.

Apa yang penting tanpa akar umbi, Ahli Parlimen UMNO yang berada di dalam kerajaan Perikatan Nasional tidak akan berada pada kedudukannya ketika ini. Bagaimanapun saya amat yakin bahawa mereka yang menjadi menteri daripada UMNO amat setia dan menyayangi parti ini.

Pada kesempatan ini juga saya menghargai sumbangan wanita UMNO yang sejak dahulu, kini dan selamanya terlalu besar pengorbanannya kepada parti.

Saya menyeru dan berharap Wanita UMNO Malaysia yang diterajui Datuk Seri Dr Noraini Ahmad terus menaburkan jasa dan bakti buat agama, bangsa dan tanah air seterusnya memenangkan UMNO pada PRU akan datang.

Saya juga menyusun sepuluh jari atas kekhilafan sekiranya timbul salah faham di atas penggulungan yang saya sampaikan pada Perhimpunan Agung UMNO kali ini.

AHMAD ZAHID HAMIDI
Presiden UMNO