KUALA LUMPUR, 4 April – Ramai menyebut erti kesetiaan kebelakangan ini tetapi apakah masing-masing faham erti sebenar kesetiaan.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam catatan menerusi Facebooknya berkata aspek definisi kata-kata, kesetiaan membawa banyak makna, namun pada prinsipnya semata-mata tentang keteguhan hati.
Bak kata ilmuan, jelas beliau kesetiaan bererti ketelusan untuk menyimpan satu dalam hati dan berjanji tidak mengkhianati.
“Kesetiaan dalam konteks UMNO pula adalah tentang meneruskan agenda perjuangan agama, bangsa dan negara. Agenda ini tidak boleh terkucil dan wajib dipertahankan walau dalam apa bentuk acuan sekali pun.
“Ramuannya tidak boleh dibenarkan bercampur baur dengan agenda luaran yang subversif yang cuba dibawa masuk. Kerana itu UMNO berpegang teguh pada kesetiaan mutlak terhadap agenda perjuangan yang dipamerkan pada perhimpunan terbesarnya baru-baru ini.
“Marilah kita belajar dari sebuah kesetiaan kerana kesetiaan itu mengajarkan pentingnya suatu kejujuran, ketulusan dan kepercayaan.Benar setia itu terkadang menyakitkan, tetapi kita perlu percaya mereka yang setia pada akhirnya ada sinar menanti,” katanya.
Katanya lagi dalam konteks umum kesetiaan dianggap sebagai perkara terpenting dalam sesebuah hubungan dan dalam konteks agama, kesetiaan jauh lebih bermakna malah sebagai umat Islam kesetiaan kepada agama adalah kewajipan.
Kesetiaan kepada negara tambahnya adalah tentang jati diri dan nasionalisme, perasaan cintakan tanah air yang tidak berbelah bahagi.
“Tatkala berkata mengenai kesetiaan kepada Raja-Raja Melayu, ia lambang Malaysia sebuah negara berdaulat. Kesetiaan kepada pasangan hidup merupakan pemangkin kepada kesejahteraan institusi kekeluargaan. Kita mengerti falsafah ini kerana itu walau apa terjadi kesetiaan pada parti tanpa kompromi,” ujarnya.- UMNO Online