Ahli Parti Diseru Gerakkan Media Sosial, Tangkis Tohmahan Dan Fitnah

ASSALAMUALAIKUM dan salam sejahtera ahli UMNO sekalian. Saya doakan semua dalam rahmat Allah SWT. Moga Allah memberkati hidup kita dan menerima segala amal ibadah kita.

Ahli UMNO sekalian.

Media sosial. Ini zaman dunia digital. Dalam kebaikan yang boleh diperoleh terselindung juga keburukan jika niat kita tidak baik ketika menggunakan media sosial.

Ahli UMNO sekalian.

Barisan Nasional (BN) tewas PRU-14 pada 9 Mei 2018 angkara media sosial. Pelbagai dakyah, fitnah, perspekif negatif dan cerita tokok tambah diada-adakan pihak lawan untuk menjadikan rakyat benci kepada UMNO serta BN. Ia berterusan hingga kini.

Apabila mereka menang PRU-14, maka rakyat menilai apa yang mereka lakukan. Inilah yang dikatakan pemerintahan dan kemenangan berasaskan fitnah.

Sehinggakan pada masa itu sebuah parti politik menawarkan peluang pekerjaan kepada cybertrooper dengan bayaran ribuan ringgit sebulan. Mereka iklankan pekerja menggunakan Jobstreet. Misi mereka memburuk-burukkan UMNO dan menyebarkan fitnah.

Ia masih berlarutan sehingga saat ini. Walaupun UMNO hanya membentuk kerajaan dan tiada kuasa pemerintahan mutlak, mereka masih melakukan perkara sama. Kerana apa, tidak mahu kita bangkit, mahu melemahkan kita dan mahu terus memastikan rakyat membenci kita.

Sedangkan rakyat sudah menilai pengorbanan dan sumbangan BN pada agama, bangsa dan tanah air. Mereka menilai kepimpinan 22 bulan dan setahun.

Ahli UMNO sekalian sangat memahami. Keadaan UMNO, kewangan UMNO dan situasi UMNO pada saat ini. Kita dihalang, dibekukan akaun dan ada usaha untuk membubarkan parti.

Saya menyeru kepada ahli UMNO sekalian. Gerakkanlah media sosial kita. Pada masa ini hanya kesetiaan dan keikhlasan boleh dituntut. Kita perlu mara menangkis tohmahan dan fitnah.

Jika kita tidak menangkisnya, perspektif negatif akan terus dimainkan pihak lawan untuk menahan UMNO daripada bangkit.

Ahli UMNO sangat memahami. Dunia digital hari ini semuanya boleh dibuat-buat. Video, foto dan panggilan suara boleh direka kerana sudah ada aplikasi.

Apa yang saya minta adalah tangkis tohmahan dengan fakta yang tepat dan bukannya menabur fitnah. Kepimpinan UMNO tidak seperti mereka.

AHMAD ZAHID HAMIDI
PRESIDEN