Semoga Madrasah Ramadan Ini Lahirkan Graduan Yang Beriman, Bertakwa – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 12 April – “Marhaban Ya Ramadan,” demikian ungkap Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid berharap semoga madrasah Ramadan kali ini akan melahirkan graduan-graduan yang beriman dan bertakwa kepada Allah.

“Berpuasalah dengan menahan diri dari perkara dilarang Allah walau ia dihalalkan seperti makan minum dan ‘bersama’ isteri.

“Lebih baik lagi dengan menahan diri dari maksiat dan sifat mazmumah seperti sombong riak takabur ujub.

“Paling penting jadikan ibadah puasa untuk mengajar kita sentiasa menahan diri dari mengingati dunia dan mengingati selain Allah Yang Maha Esa,” katanya dalam bingkisan ucapan selamat menyambut kedatangan bulan Ramadan pada tahun ini di Facebooknya.

“Selamat berpuasa dari saya dan keluarga. Ramadan Kareem,” ujar Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu lagi.

Dalam postingnya yang terkini, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk turut menceritakan beliau mengambil peluang bersama keluarga seusai majlis tahlil dan persiapan menyambut Ramadan.

“Bagi saya, keluarga adalah segala-galanya. Dalam situasi yang sukar mahupun senang keluarga tidak pernah sesekali meninggalkan saya bersendirian.

“Dalam ‘mood’ yang begitu panas ketika ini, dengan serangan bertali arus keluarga adalah penyuntik semangat dan mereka menjadi tonik untuk saya meneruskan perjuangan. Kesinambungan untuk berbakti pada agama, bangsa dan tanah air,” katanya.

Begitu juga beliau memenuhi permintaan ahli keluarganya bersama menonton filem.

“Ceritanya begini. Selepas majlis kecil-kecilan dijalankan, anak keempat mencadangkan supaya kami sekeluarga menonton filem Hantu Kapchai. Katanya mahu menyokong filem tempatan.

“Saya beritahu mereka saya okay, kita layan dan tengok siapa yang takut. Seperti biasa saya akan bersandar di dinding kaca manakala cucu-cucu saya tidur di hadapan skrin untuk menonton.

“Unsur filem ini ada jenaka dan seram. Saya steady sahaja. Tak kiralah ada jenaka, seram ataupun ‘serangan secara diam’, saya tetap kekal tenang,” katanya yang percaya aktiviti yang dilakukannya itu mengeratkan lagi silaturahim antara mereka.

Berhubung dengan jangkaan esok bermulanya puasa, Ahmad Zahid berpesan kepada umat Islam agar jangan culas menunaikan ibadah tersebut.

“Kepada geng plastik hitam tinggalkanlah plastik hitam anda. Jangan lupa bayar fidyah untuk tahun sebelumnya.

“Ini masa untuk kita beramal ibadah. Kita sudah kesuntukan masa dan tingkatkan amalan kita. Semoga ia menjadi bekalan untuk bertemu Allah SWT kelak.

“Semoga kedatangan Ramadan kali ini membawa erti bermakna dan ia lebih baik berbanding tahun terdahulu. Ayuh, malam ini kita solat terawih. Selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak,” katanya. – UMNO ONLINE