Laksanakan ‘Lockdown’ Penuh Sekarang – Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR, 28 Mei – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan menggesa perintah sekatan menyeluruh dilaksanakan serta-merta bagi menangani keadaan wabak COVID-19 yang semakin buruk.

“Kini waktu yang mendesak dan kita perlukan langkah terdesak juga,” kata Mohamad, yang juga dikenali dengan panggilan Tok Mat hari ini.

Katanya, jelas perintah kawalan pergerakan (PKP) pertama dan kedua tidak berkesan.

Sepanjang minggu lepas, lebih 50 orang menemui ajal setiap hari akibat COVID-19.

Semalam, Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan 7,857 jangkitan baharu, iaitu satu rekod baharu dalam tempoh seminggu yang turut mencatatkan beberapa rekod lain.

Mohamad berkata, beliau bimbang sistem kesihatan negara akan lumpuh.

Beliau berkata, proses vaksinasi tidak cukup pantas dan cara terbaik untuk memutuskan rantaian jangkitan ialah melalui penguatkuasaan perintah sekatan menyeluruh.

Katanya, PKP yang pertama membuktikan hakikat itu.

Menurut laporan portal itu lagi negeri Victoria di Australia, melaksanakan perintah sekatan menyeluruh selama tujuh hari selepas 26 kes jangkitan direkodkan.

“Kes kita lebih banyak lagi, dan kita sedang bergelut dengannya. Kita perlukan perintah sekatan yang menyeluruh dan teliti sekurang-kurangnya selama tiga minggu seperti PKP pertama.

“Jika kita perlu meminjam duit bagi membantu perniagaan dan rakyat, maka kita perlu buat.”

Beliau berkata, bantuan itu termasuklah moratorium pinjaman, subsidi upah dan bantuan tunai, terutama kepada golongan miskin.

Mohamad juga menggesa supaya proses semakan dan kelulusan vaksin dipercepatkan, terutama yang telah diluluskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Kerajaan harus membenarkan sektor swasta mendapatkan bekalan vaksin supaya golongan yang mampu dan bersedia membayar kosnya boleh pergi ke sana,” katanya.

“Ini akan mempercepatkan proses vaksinasi.”

Katanya, apabila angka jangkitan menurun, kerajaan boleh menimbangkan untuk membuka semula ekonomi secara berperingkat dengan pemantauan ketat.
Mohamad juga berkata, Putrajaya mesti menguatkuasakan peraturan Covid-19 dengan saksama tanpa amalan dwistandard. – BN Online