Lockdown: Pentingkan Ekonomi Negara, KDNK… Nyawa Rakyat Jadi Taruhan? – Shahril Hamdan

KUALA LUMPUR, 28 Mei – Kerajaan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu fokus dengan situasi semasa kesihatan rakyat berbanding hanya mementingkan ekonomi negara, tegas Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan.

Katanya, dengan keadaan pandemik COVID-19 yang mencatatkan angka membimbangkan saban hari, jalan penyelesaian terbaik adalah dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun ianya merupakan satu langkah yang seolah-olah mustahil untuk dilakukan kerajaan.

“Kerajaan sering mengingatkan kita bahawa jika PKP penuh atau total lockdown dilaksanakan negara akan menanggung kerugian RM2.4 bilion setiap hari seperti mana yang pernah dilalui semasa PKP 1.0 tahun lepas.

“Jika kerajaan boleh lupakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekejap pelihara pendapatan dan pekerjaan buat sementara untuk rakyat di samping lockdown maka bukankah itu cara yang terbaik?

“Saya melihat disebabkan kerajaan Malaysia terlalu takut defisit, terlalu takut hutang sebab itulah sebab mereka tak mahu lockdown,” katanya menerusi video yang dikongsi di Facebook.

Tambah Shahril, tidak ada negara dalam dunia sama ada negara maju dan membangun yang mengutamakan sasaran defisit dan hutang sebaliknya mereka mengutamakan kebajikan rakyat dan kelansungan perniagaan dalam sektor ekonomi.

“Tatkala seluruh dunia menghadapi krisis berganda kesihatan dan ekonomi paling teruk dalam sejarah moden dunia, obsesi kita terhadap KDNK terhadap defisit terhadap hutang perlu kita lupakan.

“Saya yakin rakyat memahami keperluan untuk mengimbangi antara kepentingan menyelamatkan ekonomi dan kepentingan menyelamatkan nyawa, tetapi selamatkan ekonomi sahaja kalau tiap-tiap hari tapi angka COVID-19 meningkat angka korban meningkat pun tidak ada gunanya,” katanya.

Jelas beliau lagi, kerajaan perlu lebih konsisten dan tegas kerana pada ketika ini fokus dilihat seolah-olah berat sebelah kepada mahu menyelamatkan ekonomi negara.

“Sedangkan kerajaan boleh menggunakan pilihan lain untuk mengekang penularan wabak ini.

“Selamatkan ekonomi tetapi selamatkan juga nyawa rakyat dan yang penting janganlah gunakan konsep KDNK sebagai satu alasan,” tegas beliau lagi. – UMNO Online