UMNO Akan Terus Bersuara Demi Rakyat

KUALA LUMPUR, 6 Jun – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan bahawa beliau dan pemimpin UMNO lain percaya bahawa tanggungjawab moral wujud dan mesti dilaksanakan dengan UMNO akan terus menegur dan tidak boleh membisu.

Hal demikian kerana katanya, semua ini adalah untuk kebaikan bersama.

“Setiap kali ada mana-mana pemimpin UMNO mengkritik kerajaan Perikatan Nasional (PN), akan ada satu respon wajib yang mesti terbit.

“Mengapa perlu kritik PN? Bukankah UMNO juga dalam kerajaan? Tak ada group whatsapp kah?

“Walaupun jawapan kepada pertikaian sebegini sebenarnya sangat jelas, izinkan saya menegaskannya sekali lagi,” katanya menerusi kenyataan yang dimuatnaik menerusi laman facebooknya, hari ini.

Berikut beliau sertakan alasan berkaitan:

Satu, UMNO adalah parti terbesar yang membentuk Perikatan Nasional. Suka atau tidak, itu hakikat. Jadi, UMNO mempunyai hak, tugas dan tanggungjawab moral memastikan pemimpinnya di dalam PN dan PN secara umumnya melakukan yang terbaik untuk rakyat.
Bukan sekadar menegur, UMNO berhak menarik diri jika keadaan tidak menjadi lebih baik.

Dua, pertikaian terhadap kritikan UMNO ke atas PN hanya membenarkan mentaliti ‘sekapal’, ‘satu gang’ dan ‘sama sahaja’. Kita tidak boleh membudayakan sikap berdiam diri atas mana- mana tindakan yang tidak bermanfaat hanya kerana yang melakukannya itu adalah dari kalangan kita. UMNO tidak boleh bersikap demikian. Kerana, seekor kerbau membawa lumpur, semua terpalit.

Tiga, Rasulullah SAW mengajar, berkatalah benar sekali pun pahit. Saya melihat konteks berkata benar ini termasuklah menegur dan membetulkan mereka dari kalangan pasukan atau ahli kita sendiri. Sebab itu ia pahit. Janganlah kesalahan orang sebesar kuman di sebarang laut kita nampak. Salah rakan sendiri sebesar gajah di depan mata, kita boleh tersepak.

Empat, fokus UMNO adalah rakyat dan negara. Sesiapa sahaja yang melakukan tindakan yang tidak mendatangkan manfaat terbaik kepada negara, akan terus ditegur, dikritik, malah ditentang. – UMNO Online