Puteri UMNO Desak Kerajaan Bantu Rakyat Segera… Jangan Asyik Salahkan Rakyat

KUALA LUMPUR, 22 Jun – Pergerakan Puteri UMNO menggesa kerajaan untuk segera bantu rakyat dalam berdepan situasi mencabar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) atau total lockdown yang dilanjutkan sehingga 28 Jun ini.

Ketuanya, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, jangan asyik salahkan rakyat yang sudah pun berkorban dan patuh pada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Bantu rakyat segera. Kurang satu minggu cukup sebulan rakyat berkorban sekali lagi dalam PKP 3.0 yang juga disebut total lockdown.

“Macam mana dengan rintihan rakyat yang mahukan moratorium automatik secara pukal, i-Sinar 2.0, i-Lestari 2.0, BPN/BPR ditambah dengan diskaun bil utility,” katanya dalam hantaran melalui laman facebooknya berkaitan isu terbabit.

Terdahulu, PKP 3.0 yang sepatutnya berakhir 14 Jun lalu dilanjutkan dua minggu lagi setelah mengambil kira kes harian COVID-19 yang masih tinggi melebihi 5,000 kes sehari.

Sehubungan itu segala bentuk SOP bagi setiap aktiviti sosial adalah dilarang kecuali sektor ekonomi tertentu. – UMNO Online