Zahid Sertai Sidang Meja Bulat Russia-Asean

KUALA LUMPUR, 29 Jun – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menyertai sidang maya bersama-sama lima pemimpin Asean dengan United Russian Party di Moscow.

Persidangan meja bulat mengenai Kerjasama Sekuriti Russia-Asean itu dipengerusikan Pengerusi URP, Dmitry Medvedev.

Dalam ucapannya, Presiden UMNO menyentuh mengenai perlunya Russia dan Asean meningkatkan kerjasama bagi memastikan rantau ini bebas daripada provokasi ketenteraan serta penguasaan mana-mana kuasa besar dunia.

Beliau berkata, dunia hari ini menyaksikan betapa pertikaian serantau hanya menyekat kemajuan sesebuah negara, di samping menjejaskan kestabilan sejagat.

Mengenai Asean, beliau mengesyorkan Asean dan Russia menumpukan perhatian kepada memantau sempadan masing-masing bagi mencegah jenayah rentas negara dan pemerdagangan manusia.

Di samping itu, katanya, kerjasama yang wujud sejak Russia menjadi rakan dialog Asean pada 1996 boleh meneroka bidang baru.

“Kita perlu tingkatkan hubungan sesama kerajaan dan sesama rakyat bagi mewujudkan persefahaman lebih bermakna.

“Kali terakhir kita bersemuka ialah pada 2018 di Singapura yang mengutamakan keamanan dan kerjasama di semua bidang.”

Beliau juga memberi contoh betapa pandemik COVID-19 ini menyatukan hampir semua negara bagi mencari penawar bagi mengekangnya.

Selain itu, Ahmad Zahid menyarankan agar Russia dan Asean menggerakkan sektor keusahawanannya bagi merancakkan lagi hubungan dagang serta ekonomi serantau dan Asia-Pasifik.

Sidang itu turut dihadiri ketua parti lima negara iaitu Thonloun Sisoulith dari Laos, Hun Sen (Kemboja), Vo Van Thruong (Vietnam), Airlangga Hartarto (Indonesia) dan Senator Manny Pacquiao dari Filipina.

Pengerusi Barisan Nasional itu bercakap bagi pihak parti dan bukan bagi pihak kerajaan.-UMNO ONLINE