Permudahkanlah BPR, Sudah-Sudahlah Dengan Isu Birokrasi – Dr Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 12 Julai – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia memaklumkan menerima pelbagai aduan dan keluhan rakyat mengenai kegagalan mereka mendapat Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata kerajaan mengumumkan rakyat yang tidak mendapat bantuan ini boleh membuat rayuan namun yang menjadi masalah utamanya apabila merayu, pelbagai karenah birokrasi mula dihadapi.

“Antaranya adalah pelbagai dokumen tambahan diminta dihantar termasuk sijil kahwin bagi yang berkeluarga, sijil kematian bagi ibu tunggal.

“Masalahnya bukan semua rakyat ada kemudahan printer atau scanner untuk dihantar dokumen-dokumen tersebut secara dalam talian;

“Ada juga yang hadapi pengalaman bahawa permohonan rayuan perlu disalurkan ke pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terdekat bagi mendapatkan borang secara manual dan tidak boleh diperolehi secara dalam talian,” ujar beliau.

Jelasnya lagi, apabila dokumen sudah diproses, ditetapkan pula masa untuk temujanji namun yang menjadi masalah bagaimana hendak bergerak ke LHDN terdekat sedangkan ramai berhadapan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang membataskan pergerakan.

Tambah Asyraf lagi surat LHDN juga pula jelas mengatakan bahawa surat itu tidak boleh digunakan untuk merentas daerah.

“Jika tidak hadir, bermakna temujanji terbatal dan rayuan dianggap gagal! Semua ini hanya untuk dapatkan RM500 BPR tambahan.

“Apa salahnya mengambil contoh kaedah negara-negara maju seperti United Kingdom yang mempermudahkan rakyatnya hanya dengan self-declaration (deklarasi kendiri) dan semua urusan berasaskan prinsip kepercayaan (trust).

“Ironinya Malaysia telah menetapkan sasaran untuk menjadi negara maju sejak 2020 namun mentaliti dan urusan kerajaan masih seperti negara dunia ketiga. Sudah-sudahlah dengan isu birokrasi dan koordinasi yang tidak henti-henti mengelirukan dan menyusahkan rakyat!” katanya.

Asyraf menegaskan bahawa Pemuda UMNO menekankan sebagaimana dalam 10 perkara tuntutan rakyat yang sampaikan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Nombor 3, permudahkan proses rayuan tanpa perlu banyak dokumen pembuktian pengurangan pendapatan.

“Karenah birokrasi akan menyusahkan rakyat (takut-takut kos untuk merayu akhirnya yang tinggal berbaki jika berjaya sekalipun sudah tidak berbaloi).

“Permudahkahlah usah persulitkan rakyat yang susah!” tegas beliau. – UMNO Online