Isu Rakyat Perlu Dibawa Ke Dewan Rakyat, RCI TH Antara Perkara Utama Tuntutan UMNO – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 15 Julai – Isu yang melibatkan kepentingan dan kebajikan rakyat terutama kini yang menghadapi kesukaran di era Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perlu dibawa ke Dewan Rakyat.

Demikian kata Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan di dalam Twitter merujuk kepada sebuah keratan akhbar arus perdana hari ini yang melaporkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan peniaga kecil makin terhimpit jika PKP bersambung.

“Namun hingga hari ini saya masih belum terima notis bila Parlimen akan bersidang. Kenyataan media bukan notis.

“Sesi soal jawab, aturan mesyuarat, usul-usul, bahas Ordinan Darurat, Pelan Pemulihan Negara dan lain-lain belum diketahui,” kesalnya.

Sebagai rekod, pada 5 Julai lalu Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan media bahawa Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 diadakan selama lima hari bermula 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos ini bagi Dewan Rakyat manakala Dewan Negara pula akan bersidang selama tiga hari bermula 3 hingga 5 Ogos ini.

Sidang khas Parlimen itu bertujuan memberi penerangan kepada Ahli-ahli Parlimen mengenai Pelan Pemulihan Negara dan meminda semua perundangan dan peraturan bagi membolehkan persidangan Parlimen diadakan secara hibrid.

Selain itu, kenyataan itu juga memaklumkan berdasarkan Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan semua proklamasi darurat dan ordinan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong akan dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen.

Berhubung dengan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH), Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata perkara sedemikian antara perkara utama yang dilontarkannya dan UMNO di Dewan Rakyat.

“Majlis Kerja Tertinggi UMNO telah minta RCI dalam kenyataan media Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 11 Mac 2020, sekitar satu tahun empat bulan yang lalu.

“Selidik hingga kepada kejatuhan bursa saham yang teruk era Pakatan Harapan. Masa Barisan Nasional Khazanah, TH, FGV dan lain-lain semua untung,” ciapnya di status terdahulu.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri dalam satu kenyataan berkata kerajaan bersetuju akan mengadakan RCI bagi menyiasat isu-isu berbangkit mengenai TH dari tahun 2014 hingga 2020.

Ujarnya, terdapat empat terma RCI yang dipersetujui Jemaah Menteri yang bermesyuarat semalam termasuk menumpukan kepada hasil penemuan perunding-perunding ke atas isu-isu berbangkit TH dari tahun 2014 hingga tahun 2020 tetapi tidak termasuk Pelan Pemulihan dan Penstrukturan TH yang sedang dilaksanakan pada masa ini. – UMNO ONLINE