Usah Derhaka Titah Tuanku Yang Mewakili Suara Rakyat

1. Apabila Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah menitahkan supaya Parlimen bersidang untuk bahaskan dan luluskan Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara tentu ada maksud tersurat dan tersiratnya!

2. Tuanku sudah tentu sedar dan faham keluhan rakyat mengenai kegagalan Darurat menangani Covid-19 sebagaimana yang diluahkan di merata tempat hingga membawa kepada TITAH yang dikeluarkan.

3. Fakta kegagalan Darurat menangani Covid-19 yang tidak boleh dinafikan seperti berikut:

SELEPAS 6 BULAN 5 HARI DARURAT (11 Jan-15 Julai):
●Kes Baharu meningkat: 2,232 –> 13,215
●Jumlah kumulatif kes meningkat: 138,224 –> 880,782
● Kes aktif meningkat: 28,554 –> 108,369
● Kes kematian baharu meningkat: 4 –> 110
●Jumlah kumulatif kematian meningkat: 555 –> 6,613

KEBAJIKAN DAN SOSIAL RAKYAT SEPANJANG DARURAT:
■ Pengangguran meningkat bahkan ramai dipaksa cuti tanpa gaji.
■ Pendapatan rakyat makin kronik
■ Bantuan yang penuh birokrasi
■ Kes Bunuh Diri meningkat
■ Tuntutan Rakyat untuk ditambah baik moratorium, i-Citra, BPR, BKC belum ada sebarang berita.
■ Kerajaan semacam takut berbelanja defisit demi bantu rakyat yang kesempitan.
■ Kompaun yang diperkenalkan melalui Ordinan bersifat melampau dan pilih kasih.

4. Semua ini menyebabkan rakyat tertekan dan terdesak!

5. Tuanku Agong yang berjiwa rakyat hakikatnya mendengar semua rintihan rakyat sebab itulah TITAH jelas supaya isu-isu rakyat di atas diperbahaskan dan biar rakyat melalui wakil mereka yang dipilih iaitu Ahli-Ahli Parlimen tentukan sama ada Proklamasi Darurat dan segala Ordinan yang diluluskan di luar Parlimen kembali diabsahkan.

6. Malangnya TITAH Tuanku Agong dan Raja-Raja Pemerintah tidak dihormati malah sebelum ini diremehkan sehingga TIGA KALI perutusan terpaksa dikeluarkan untuk menegaskan polemik Parlimen mesti bersidang ‘secepat mungkin’ dan ‘segera’.

7. Malah kegagalan Kerajaan memenuhi hasrat yang dititahkan Tuanku Agong dan Raja-Raja Pemerintah boleh dipersepsikan sebagai suatu bentuk DERHAKA bahkan menafikan hak Ahli-Ahli Parlimen untuk menentukan keabsahan Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinan di bawahnya sebagaimana yang dijamin dalam Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan:

“Proklamasi Darurat dan apa-apa ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) hendaklah dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen dan, jika tidak terlebih dahulu dibatalkan, hendaklah terhenti berkuat kuasa jika ketetapan diluluskan oleh kedua-dua Majlis yang mengungkaikan Proklamasi atau ordinan itu, tetapi tanpa menjejaskan apa-apa jua yang dilakukan sebelumnya menurut kuasa Proklamasi atau ordinan itu atau tanpa menjejaskan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk mengeluarkan suatu Proklamasi baru di bawah Fasal (1) atau memasyhurkan apa-apa ordinan di bawah Fasal (2B).”

8. Justeru, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mendesak agar Kerajaan menghormati hasrat yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah untuk membentang, membahaskan Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara, bukannya sekadar sesi Penerangan daripada Menteri-Menteri.

Dr. Asyraf Wajdi Dusuki
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia