UMNO Tidak Akan Tipu Rakyat, Apatah Lagi Berbohong Serta Fitnah

KUALA LUMPUR, 25 Julai – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan bahawa parti itu sama sekali tidak akan menipu rakyat.

Penegasan berkenaan dibuat ketika mengulas persoalan dibangkitkan netizen yang menulis dan bertanya di Facebook mengapa UMNO berpolitik dengan memberi fakta.

Tegas beliau lagi malah parti itu juga tidak sanggup berbohong, memfitnah dan menawarkan manifesto bukan kitab suci.

“Ada yang menulis dan bertanya di Facebook mengapa UMNO berpolitik dengan memberi fakta. Jika memfitnah dan tipu rakyat baru boleh menang PRU-15 seperti lawan politik praktikkan pada PRU-14.

“Tergelak kecil membaca komen itu, namun saya faham maksudnya. Ia penulisan sarkastik.Tetapi ini jaminan saya sebagai Presiden UMNO. Tidak sesekali UMNO akan menipu rakyat.

“Apatah lagi sanggup berbohong, memfitnah dan menawarkan manifesto bukan kitab suci. Bukan begitu cara parti UMNO berpolitik. Kemenangan dengan cara begitu tiada rahmatnya.

“Kita perlukan keberkatan dan keredhaan Allah S.W.T apabila kembali mentadbir kelak. InsyaAllah Yang Maha Esa membantu perjuangan penuh tulus ikhlas,” ujarnya menerusi catatan di Facebook.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk seterusnya berkata rakyat juga semakin matang menilai antara kebenaran dan propanganda.

Malah tambahnya lagi sejarah mendewasakan mereka dalam memahami antara realiti dan permainan persepsi.

“Dengan itu UMNO akan terus berpegang kepada kebenaran dalam perjuangan politiknya,” tambahnya.- UMNO Online