Keputusan UMNO Tidak Bekerjasama Dengan PPBM Suara Akar Umbi, Bukan Hanya Ketetapan MKT – Zahid

KUALA LUMPUR, 2 Okt – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa keputusan UMNO tidak bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang telah dimuktamadkan.

Jelas beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), ia bukan sekadar sebuah ketetapan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT), tetapi lahir daripada suara di peringkat akar umbi pada Perhimpunan Agung UMNO 2020.

“UMNO juga mengambil pendirian menolak pembentukan gabungan politik Perikatan Nasional (PN) dalam PRU-15 dan berdiri teguh memperkasa BN.

“Kesimpulannya kesemua ketetapan Perhimpunan Agung UMNO 2020 itu adalah berfokuskan kepada PRU-15 yang akan diadakan sejurus pandemik COVID-19 dapat ditangani,” katanya dalam kenyataan berkaitan isu terbabit menerusi laman facebooknya, hari ini.

Ujarnya, PRU-15 sangat penting bagi mengembalikan semula mandat kepada rakyat demi mewujudkan kestabilan politik yang kukuh di negara ini.

“Berhubung pembentukan kerajaan Keluarga Malaysia sejurus kerajaan PN tumbang Ogos lalu adalah bagi memastikan kelangsungan pentadbiran kerajaan.

“Kelangsungan pentadbiran sebuah kerajaan yang cuma bersifat sementara sebelum Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRU-15.

“Kerajaan sementara ini ditubuhkan dengan pertimbangan suasana politik yang masih tidak stabil sedangkan rakyat diancam pandemik COVID-19.”

Terang Ahmad Zahid lagi, UMNO perlu mengutamakan rakyat pada setiap masa sama ada dalam jangka masa pendek mahupun jangka masa panjang.

“Begitu juga menjunjung kasih titah Raja-Raja Pemerintah. Insya-Allah kita yakin UMNO dengan strategi dan gerak kerja yang telah dan sedang diatur akan mengembalikan kerajaan BN sebagai tonggak pentadbiran negara pada PRU-15.

“Kepada Allah S.W.T kita berserah demi sebuah perjuangan untuk kepentingan rakyat dan negara.” – UMNO Online