Tindakan Ahli Politik Jadikan Diri ‘Komoditi’ Punca Krisis Politik Tidak Berkesudahan – Tok Mat

KUALA LUMPUR, 5 Okt – Sikap ahli politik yang menjadikan diri mereka sebagai ‘komoditi’ menyebabkan negara berada dalam situasi politik yang amat janggal dan tidak pernah dilalui sebelum ini.

Itu pandangan yang diluahkan oleh Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan atau ‘Tok Mat’ sambil menambah ahli politik terlibat juga tidak lagi mempunyai kesetiaan kepada parti dan pengundi mereka.

“Mereka memperdagangkan diri seolah-olah mereka ini ‘komoditi politik,’ jadi inilah keadaan yang kita hadapi sekarang.

“Yang paling malang, moral politik Malaysia sangat susut dari segi nilai dan prinsip,” katanya ketika ditemu bual dalam Program Bual Bicara ‘Terus Terang Bersama Tok Mat’ yang disiarkan di Facebook UMNO Online malam tadi.

Beliau mengulas krisis politik tanah air yang tidak berkesudahan sejak akhir-akhir ini sehingga Malaysia menyaksikan pelantikan tiga perdana menteri dalam tempoh tiga tahun.

Mohamad berkata tindakan parti yang membuka pintu kepada ahli politik yang melompat parti menjadikan keadaan lebih buruk malah ‘pengkhianat’ ini diraikan oleh parti terbabit.

Beliau berkata kesan tindakan itu menyebabkan kerajaan hilang keseimbangan politik yang pernah dikuasai selepas merdeka.

Sebaliknya negara telah memasuki fasa yang menyaksikan tiada parti yang dominan dan kekuatan politik Melayu berada di tahap paling lemah dalam sejarah tanah air.

Mohamad berkata jika keadaan ini berlarutan, negara tidak akan mencapai kestabilan dan kesejahteraan politik seperti dahulu.

“Ini sangat bahaya kerana negara tidak akan boleh diurus dengan baik, tak boleh ditadbir dengan sejahtera dan jika negara diurus dengan baik, rakyat akan dapat faedah, dapat rasa keamanan politik dan kesihatan serta ekonomi (yang lebih baik) di negara kita,” katanya.

Beliau juga berkata UMNO perlu tahu membezakan antara kerajaan dan parti politik kerana ia kini menjadi dua entiti berbeza.

“Parti politik kini tidak lagi menguasai kerajaan. Daripada parti yang ditubuhkan kerajaan sekarang, UMNO cuma ada 42 (kerusi).

“Jadi ini bukan kerajaan 100 peratus UMNO tetapi UMNO mahu tidak mahu mesti menyokong kerajaan hari ini kerana kerajaan hari ini masih diterajui oleh Naib Presiden parti (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob),” katanya.

Mohamad berkata kerajaan yang ada ketika ini ditubuh untuk menguruskan negara serta mengambil alih pentadbiran kerajaan yang dikatakan gagal.

“Kerajaan PH (Pakatan Harapan) gagal, PN (Perikatan Nasional) pun gagal, jadi kerajaan ini mesti berusaha untuk mengurus negara. Maka adalah lebih baik untuk kerajaan mengadakan gencatan senjata politik rentas parti agar kerajaan tidak diganggu-gugat,” katanya.