PPBM Tak Perlu Hipokrit, ‘Play Innocent’ Dalam Soal Kerjasama, Tegas Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 5 Okt – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tegas berkata Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak perlu hipokrit dan ‘play innocent’ dalam soal kerjasama sedangkan rakyat pun tahu hakikat itu.

Kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, jika benar demi sebuah kerjasama yang jujur serta ikhlas, apa kata bubarkan PPBM dan kembali ke pangkuan UMNO.

“Mungkin Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan akar umbi UMNO akan berlembut hati untuk menerima mereka semula,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Ulas Ahmad Zahid juga, antara faktor akar umbi UMNO enggan bekerjasama dengan PPBM adalah seperti berikut:

Pertama, UMNO parti keramat agama, bangsa dan negara bukan milik mana-mana individu. Ia milik rakyat dan lebih 3.3 juta ahlinya. Akar umbi UMNO sama sekali tidak mahu prinsip ini dikorbankan. Sebarang cubaan untuk mempergunakan dan memanipulasi UMNO tidak boleh diterima.

Kedua, akar umbi UMNO yang pernah terpedaya dengan pembohongan PPBM pada PRU-14 (Pilihan Raya Umum Ke-14) menginsafi kesilapan lalu.

“Mereka berazam memperbaiki keadaan dengan mengembalikan dominasi UMNO pada PRU-15. Akar umbi UMNO percaya dengan yakin parti ini akan bangkit di bawah panji BN,” katanya.

Seterusnya tambah Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, ketiga, PPBM adalah parti serpihan UMNO yang ditubuhkan pada tahun 2016.

“Ditubuhkan oleh mereka yang pada suatu ketika kecewa gagal menguasai UMNO untuk kepentingan kendiri.

“Kemudian bersekongkol dengan Pakatan Harapan/Dap untuk menjatuhkan UMNO dalam PRU-14. Melalui pelbagai propaganda, fitnah dan penipuan yang dilemparkan ke atas pimpinan UMNO,” katanya.

Manakala keempat, akar umbi melihat ketidakjujuran PPBM dengan cuba mencuri dan membeli ahli UMNO, bidasnya yang turut melampirkan pautan berita mengenainya (pautan). – UMNO ONLINE