Individu Pernah Terima Nikmat Sanggup Tikam Kawan Demi Kuasa – Shahril

KUALA LUMPUR, 6 Okt – Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan menegaskan situasi politik di Melaka amat mengecewakan kerana antaranya dicetus oleh individu-individu tertentu tanpa merujuk prestasi baik kerajaan negeri sedangkan ini kerajaan yang ditubuh bersama oleh mereka juga.
Tambah mengecewakan jelas beliau lagi antara kepalanya adalah individu yang pernah menerima nikmat kerusi sama tetapi masih terkejar status itu sehingga sanggup menikam kawan dan parti serta membelakangi agenda rakyat, negeri dan negara.
“Saya mengamati sidang media Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Raof Yusoh yang jelas menegaskan bahawa sebenarnya tiada masalah dalam kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
“Maka kemelut ini sengaja diwujudkan oleh individu yang mengejar agenda peribadi dan nafsu mahu jadi Ketua Menteri, bukannya agenda parti mahupun rakyat.
“Yang peliknya, Pakatan Harapan (PH) juga nampak mahu menerima tindakan ini meskipun telah menyatakan komitmen untuk bekerjasama dalam politik baharu sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang bukannya terlalu lama lagi,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO Online.
Tegas Shahril lagi yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO, dalam suasana pada ketika seluruh negara mahu menjayakan senario ketenangan setelah berbulan-bulan mendepani kemelut, individu-individu ini mengecewakan kita.
“Apatah lagi kes COVID-19 mula terkawal dan vaksinasi meluas, sekaligus memberi peluang pemulihan ekonomi baik di peningkat nasional mahupun negeri Melaka sendiri,” tambahnya. – UMNO Online