KPDNHEP Perlu Peka Beri Kelulusan Jenama, Elak Isu Sensitiviti Kaum Dan Agama – Pemuda UMNO

KUALA LUMPUR, 20 Okt – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berharap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sentiasa peka dalam menyelia setiap kelulusan penjenamaan dan strategi pemasaran syarikat.

Pengarah Komunikasinya, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata ianya bagi mengelakkan daripada menyentuh sensitiviti kepelbagaian kaum dan agama, khususnya umat Islam di dalam negara.

“Arak whisky jenama ‘Timah’ yang merupakan produk Malaysia telah menimbulkan kontroversi sejak ia memperolehi pengiktarafan antarabangsa baru-baru ini. Walaupun ianya milik syarikat swasta tetapi ia telah menimbulkan persepsi yang kurang sihat di kalangan masyarakat.

“Kita semua pastinya tahu, Malaysia dikenali di serata dunia kerana kemajmukannya kerana martabat Islam yang tinggi namun masih kekal progresif dalam membangunkan sebuah negara yang kaum serta bangsanya pelbagai.

“Tetapi, amat dikesali sekiranya kini arak menjadi tanda aras untuk kita dikenali di mata dunia, dan lebih menyedihkan pengiktarafan ini tidak memberikan impak yang besar terhadap imej negara di mata dunia,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Pemuda UMNO Negeri Kedah berkata kerajaan perlu menilai, kelebihan yang diperoleh berbanding kemudaratan yang bakal diterima oleh rakyat Malaysia.

“Jika hanya kelebihan ekonomi dijadikan ukuran, lihat juga kerugian yang dialami ketika arak memberikan musibah kepada anak muda dan umum tahu kerana arak jua lah ramai nyawa terkorban serta keluarga berantakan.

“Pemuda UMNO percaya, kerajaan Keluarga Malaysia hari ini pastinya cakna dan mahukan yang terbaik untuk majoriti rakyat Malaysia. Pemuda UMNO mahukan Kementerian dan agensi berkaitan untuk melihat isu ini sebaiknya.

“Isu ini perlu diselesaikan secara tuntas, dan rakyat tidak boleh dibelenggu dengan isu yang tidak memangkin pembangunan yang mampan. Kita perlu bersatu dan mencari jalan penyelesaian agar isu arak tempatan ini dapat diselesaikan segera,” tegas beliau. – UMNO Online