UMNO Bukan Pengkhianat, Lakukan Demi Bangsa, Negara… PPBM Raikan Katak Politik – Khaled

KUALA LUMPUR, 15 Nov – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan bahawa UMNO bukan pengkhianat sebaliknya parti ini hanya mahukan yang terbaik demi bangsa dan negara.

Ujarnya, UMNO tidak akan sesekali mengkhianati amanah.

“Apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY) mengepalai dan merestui seluruh PPBM dan beberapa ‘katak’ politik yang dipimpin Azmin Ali menyusun plot untuk meninggalkan Pakatan Harapan (PH), pada masa itu mereka fikir tindakan merekalah yang paling bermoral dan betul.

“Yang mereka lupa, susulan Langkah Sharetonlah kita mula mendengar istilah ‘pengkhianat’ dalam pentas politik negara pada skala yang tidak pernah kita saksikan sebelumnya,” katanya dalam kenyataan menerusi laman facebooknya berkaitan isu terbabit.

Hakikatnya, ujar beliau, PH tumbang kerana PPBM dan beberapa konconya meninggalkan mereka tanpa sebab dan alasan jelas.

“Itulah pengkhianatan. Itulah fakta. Tiada pertikaian. Yang peliknya, individu yang sebelum ini menjadi ‘silent mastermind’ dan punca kejatuhan PH yang dipilih oleh rakyat secara sah, kini mula ke sana ke sini.

“Mencanang bahawa beliau mangsa yang dikhianati UMNO, kerana UMNO menarik sokongan ke atas PN dan beliau pun jatuh dari terus menjadi Perdana Menteri.”

Bidas Khaled, UMNO tidak mengkhianati sesiapa, kerana UMNO hanya melakukan perkara yang perlu untuk memastikan kerajaan tidak dikepalai oleh mereka dengan perwatakan seorang ‘Abah’ sedangkan pada dasarnya gagal meyakinkan ‘anak-anaknya’ bahawa mereka akan selamat, terlindung dan tidak dikecewakan.

“Jadi, kalau pun ada mangsa pengkhianatan dalam politik tanah air kita, mangsanya adalah UMNO.

“Sebagai tokoh yang paling banyak menerima dan meraikan pengkhianatan dan pelompat parti, TSMY adalah pemangsa, bukan mangsa. Parti TSMY yang banyak menerima mereka yang mengkhianati PKR. Parti TSMY jugalah yang mengalu-alukan mereka yang mengkhianati UMNO. Sehingga kesemuanya dikumpulkan untuk mengkhianati menumbangkan PH.

“Jadi, adalah sangat canggung malah kelakar untuk TSMY kini tampil melaungkan, terutamanya di seluruh pelosok Melaka, bahawa dirinya mangsa pengkhianatan politik.”

Ulasnya, UMNO berbeza dengan tindakan TSMY dan PPBM yang meninggal dan menjatuhkan PH tanpa sebab kerana UMNO sebenarnya mempunyai alasan yang jelas untuk menarik sokongan kepada TSMY sebagai Perdana Menteri.

Berikut adalah alasan mengapa UMNO menarik sokongan kepada TSMY sebagai Perdana Menteri:

Pertama, pengisytiharan darurat serta pemandulan Parlimen dan institusi demokrasi yang lain tidak pun menyebabkan usaha memerangi COVID-19 pada ketika itu menjadi lebih baik. Perdana Menteri diharapkan tampil dengan pelan serta strategi baharu yang lebih berkesan, tetapi saranan serta kebimbangan UMNO tidak diendahkan.

Kedua, kerajaan yang diterajui oleh TSMY sedang dalam kegagalan. Gerakan massa seperti #KerajaanGagal, #Lawan dan #BenderaPutih adalah petunjuk jelas dan kuat daripada masyarakat awam. Dan UMNO tidak pun memulakan atau terlibat dalam semua itu.

Tetapi, memandangkan UMNO juga berada dalam kerajaan PN di bawah TSMY, UMNO turut menerima tempiasnya. Maka, jalan paling bertanggungjawab untuk UMNO adalah memberikan teguran, desakan serta pandangan yang selari dengan sentimen serta kekecewaan masyarakat.

UMNO harus bertindak sebagai instrumen semak dan imbang yang mampu membawa suara masyarakat sekali pun yang demikian itu bermakna UMNO terpaksa untuk menarik sokongan kepada kerajaan. Ini adalah tindakan berprinsip, bukan pengkhianatan.

Ketiga, penarikan sokongan UMNO atas TSMY tidak dilakukan secara mengejut, rahsia atau tidak berasas. Ia sesuatu yang dinyatakan secara terbuka, sejak awal. Malah berulang-ulang kali.

Lihat kembali resolusi semasa Perhimpunan Agung UMNO sebelumnya dan kenyataan-kenyataan ramai pemimpin utama UMNO. Bahawa parti ini akan menarik sokongan dan tidak akan terus bersama PM sekiranya segala usul, desakan dan tuntutan yang mahukan Kerajaan menguruskan ekonomi dan COVID-19 dengan lebih baik tidak diberikan perhatian.

Malah, UMNO kerap mengingatkan bahawa, sekiranya TSMY tidak melakukan sesuatu untuk memastikan keadaan pulih, UMNO akan berundur.

Yang jelas, UMNO tidak melakukan semua ini sebagai satu perancangan jahat dan sulit di hotel ibu kota. Ia juga bukan satu tindakan yang dibuat untuk merebut kuasa. Malah, UMNO sehingga menegaskan bahawa yang ditegur dan ditolak, adalah Perdana Menteri. Bukannya keseluruhan kerajaan.

Keempat, UMNO adalah parti yang jelas bersungguh-sungguh memerangi pengkhianatan, terutamanya lompat parti. Wakil UMNO yang kini mengusul dan mendesak agar undang-undang anti lompat parti serta pilihan raya pecat diperkenalkan. – UMNO Online