Takut Bayang-Bayang Sendiri… Ada Pihak Cemas Kebangkitan BN – Zahid

KUALA LUMPUR, 7 Dis – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpandangan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka lalu ternyata memberi kebimbangan kepada parti yang pernah menguasai pentadbiran kerajaan selama 22 bulan.

Katanya, ianya juga turut menggusarkan parti yang pernah bersama mereka dalam gabungan politik kerajaan singkat itu termasuk yang telah menarik diri.

“Mereka yang menarik diri untuk menyelamatkan diri selepas mendapati gabungan politik berkenaan ditolak rakyat.

“Sehingga hari ini mereka bersama-sama meratib penuh ketakutan dan kekhuatiran melihat kebangkitan semula Barisan Nasional (BN).

“Apatah lagi selepas menyaksikan kemenangan besar BN dalam PRN Melaka pada 20 November lalu,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Jelas Pengerusi BN itu lagi malah pelbagai kata-kata nista, tohmahan dan adu domba kembali diungkapkan ke atas BN dan para pemimpinnya.

“Begitu cemas dan gementar pemimpin-pemimpin politik itu terhadap kebangkitan BN ekoran takutkan bayang-bayang sendiri.

“Takut kepada segala keburukan, kejahatan dan penganiayaan yang pernah mereka lakukan terhadap BN.

“Menumbangkan kerajaan BN pada tahun 2018 dengan fitnah, pembohongan dan tipu daya.

“Melakukan character assassination secara terancang ke atas pemimpin BN untuk menghasut kebencian rakyat,” ujar beliau.

Ujar Ahmad Zahid, mereka menewaskan kerajaan BN dengan menabur begitu banyak janji-janji palsu kepada rakyat malah tidak cukup dengan itu turut menekan pemimpin BN yang masih setia kepada parti.

“Tetapi kita percaya penuh yakin kali ini rakyat tidak akan terpedaya lagi walau apa mereka rancangkan ke atas BN dan pemimpinnya.

“Dengan izin Tuhan Yang Maha Esa kebangkitan BN menuju kemenangan PRU-15 tidak akan mampu disekat.

“Insya-Allah BN akan kembalikan kemakmuran, kestabilan dan kesejahteraan yang amat dirindui rakyat Malaysia,” katanya. – UMNO Online