Ada Pihak Sengaja Membutakan Mata, Sembunyi Kebenaran Demi Halalkan Kehendak

KUALA LUMPUR, 14 Dis – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengakui bahawa ada segelintir pihak yang sengaja membutakan mata demi mencapai keinginan diri.

Katanya, paling membimbangkan golongan ini juga licik menggunakan sentimen keagamaan termasuk menjatuhkan pihak lain yang tidak sealiran.

“Tidak semua sanggup menentang kebatilan, memilih untuk tunduk disebabkan tahu lara dan likunya… meski begitu yang tunduk tidaklah lebih teruk berbanding yang menawarkan diri jadi alat menidakkan kebenaran.

“Apatah lagi sanggup memanipulasi agama mengelirukan antara kebatilan dan kebenaran demi menghalalkan kehendak,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.

Namun jelas Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu lagi, meski pun begitu beliau percaya bahawa pertolongan daripada Allah SWT itu adalah jalan terbaik bagi mendapatkan keberkatan serta keredhaan-Nya.

“Insya-Allah perjuangan menegakkan kebenaran pasti beroleh keberkatan kerana kezaliman harus ditewaskan… biar apa pakatan cuba menafikan kebenaran, kepada Allah S.W.T jua kita berdoa dan berserah memohon pertolongan.

“Biar apa ikatan mahu menenggelamkan kebenaran, perjuangan menegakkan yang benar akan tetap diteruskan untuk ditegakkan,” tegas Ahmad Zahid.

Malah beliau turut berpesan kepada pengikut di Facebooknya bahawa jangan sesekali pernah tunduk serta gentar kepada kebatilan dan kezaliman malah perlu yakin disebalik ujian yang dihadapi.

“Seharusnya menjadi azimat penguat semangat meneruskan perjuangan. Kini kita ada sebab dan tujuan yang lebih jelas lagi meyakinkan perjuangan ini sebuah perjuangan yang luhur,” ujarnya. – UMNO Online