Angkat UMNO Demi Agama, Bangsa, Negara… Selamatkan Perjuangan Dari Komplot Kemusnahan – Zahid

 

KUALA LUMPUR, 17 Dis – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan kesyukuran kerana diberi kekuatan dan semangat untuk terus mengangkat perjuangan UMNO demi agama, bangsa dan negara.

Sesungguhnya kata beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), bukan tugas mudah untuk menyelamatkan perjuangan murni ini daripada komplot kemusnahan yang dirancang seusai detik hitam 9 Mei 2018.

  1. “Allah jua memafhumi apa yang terpaksa diri ini harungi sejak lebih tiga tahun lalu demi memastikan UMNO dan perjuangannya tidak hancur dimamah kezaliman.

    “Masih jelas dalam ingatan diri diugut dan digertak sang penguasa supaya membubarkan UMNO atau menerima akibat sejurus UMNO tewas PRU-14 angkara fitnah dan tipu daya.

“Seterusnya dihina dan diejek oleh si pembelot yang berkiblatkan jawatan serta kedudukan dan ditekan oleh mereka yang curang supaya menggadaikan parti keramat ini,” katanya dalam hantaran dalam laman facebooknya hari ini.

Dalam hal ini beliau meyakini bahawa Presiden UMNO tetap berpegang kepada amanah parti dan pesanan lebih 3.3 juta ahlinya untuk mengorak sebuah kebangkitan dan mengembalikan kebenaran buat rakyat serta negara.

“Maka bersyukur insan ini dengan penuh tawaduk kepada Ilahi kerana tidak pernah sesekali mengizinkan ia layu dan kaku berdepan penganiayaan dan kedurjanaan.

“Genggam bara api biar sampai jadi arang, alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan, patah sayap bertongkat paruh, namun gunungku daki ku daki juga, yakini akhirnya kebenaran akan mengatasi kebatilan.”

Ujarnya, meskipun jalannya berliku, tetapi langkah parti keramat agama, bangsa dan negara untuk sebuah ‘redemption’ tidak pernah terhenti.

“Alhamdulillah kebangkitan yang dirancang dan disusun bersama para pimpinan UMNO yang tetap setia kepada perjuangan parti selepas peristiwa 9 Mei 2018 sedang pun berlaku.

“Namun kebatilan juga tidak pernah tidur dan sentiasa mencari peluang untuk menyekat dan meranapkan kerana tahu kebenaran yang bangkit akan meleburkan mereka.”

Tegasnya yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, segala macam kelicikan direncanakan ke atas UMNO dan Presidennya tanpa mempedulikan soal penganiyaan, dosa dan pahala demi mempertahankan kuasa dan kedudukan.

“Barangkali juga kerana terlalu takutkan bayang-bayang sendiri setelah segala kejahatan dan pengkhianatan yang dilakukan terhadap parti terbesar orang Melayu ini.

“Setinggi syukur Ya Allah kerana memperlihatkan dengan terang dan nyata kepada kami ahli UMNO dan rakyat jelata tentang muslihat pakatan dan ikatan mereka.

“Pimpinan dan ahli akar umbi UMNO yang setia berharap dan berdoa kepadaMu Ya Rabbi lindungilah dan berkatilah perjuangan kami demi kemakmuran rakyat dan negara tidak tersasar.”

Lantaran itu, beliau menjatkan doa agar usah benarkan UMNO dipergunakan dan dipecah belahkan oleh musuh yang nyata mahupun tidak nyata.

“Teguhkan pendirian kami. Kukuhkan kemuafakatan dan penyatuan kami,” katanya lagi. – UMNO Online