UMNO Fokus Bawa Kejayaan PRU-15… Agenda Pengukuhan, Pemerkasaan Terus Dilaksana – Shahril

KUALA LUMPUR, 17 Dis – UMNO fokus dengan agenda pengukuhan dan pemerkasaan parti khususnya selepas kejayaan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tempoh hari yang mencatatkan keputusan cukup cemerlang, kata Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan.

Namun katanya, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dilihat sebagai fasa yang mencabar malah formula atau agenda yang lebih mampan perlu dilaksanakan dalam menarik sokongan pengundi kepada UMNO/BN.

“Kejayaan ini wajar diraikan kerana sudah sekian lama kita melihat sejak 2018 pelbagai fasa-fasa yang kita lalui dan apabila menang PRK kita raikan kemudian bila sudah berubah kerajaan sebagainya PRK itu tidak menjadir reference sejak perubahan pola politik.

“PRN menjadi kejayaan yang saya fikir setelah segala perubahan itu masih lagi terbukti UMNO/BN ada gelombang dan momentum jadi untuk kita meraikan kemenangan ini menjadi perkara wajib dan saya fikir normal untuk parti.

“Bagaimanapun peringkat seterusnya sudah tentu kita bercakap berkenaan PRU-15 yang perkiraan atau formula lebih luas, berbeza, complicated dan kompleks,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program ‘UMNO: Demi Generasi Masa Depan’ yang disiarkan secara langsung di Facebook UMNO Online, malam tadi.

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia itu malah menggariskan tiga isu pokok yang menjadi kewajipan kepada parti untuk meneruskan penguasaan di PRU-15 akan datang.

“Ada tiga perkara yang besar iaitu kekuatan dalaman… kedua persiapan jentera dan terakhir, sentuhan kepada pengundi. Internal solidariti ini memerlukan kekuatan dan perpaduan dalaman.

“Persiapan jentera pula termasuk kursus-kursus yang dilaksanakan bagi memantapkan akar umbi dan yang terakhir adalah perancangan bagaimana hendak sentuh pengundi daripada luar kepompong parti sendiri.

“Sentuhan pengundi di luar itu sama ada program sukan, karnival kerjaya mahupun keusahawanan ini program-program yang mesti dijayakan di kawasan setempat jadi saya fikir perincian ini kalau boleh dijayakan dalam masa terdekat bermula di persidangan bahagian-bahagian saya mengharapkan ia menjadi satu titik tolak kepada persiapan yang sebenar,” jelas beliau.

Sementara itu, bersempena dengan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian pada esok Shahril turut berharap ianya menjadi persidangan yang penuh bermakna untuk memperkuatkan parti.

“Membawa agenda untuk parti menang… apabila parti menang rakyat menang itulah perkara yang paling mustahak sekali meskipun akan ada isu-isu lain yang bangkit termasuk perkara-perkara sampingan yang muncul tapi ingatlah bahawa hati mesti ikhlas, tujuan dan matlamat mesti jelas menangkan parti menangkan rakyat kestabilan demi kemakmuran.

“Insya-Allah kalau itu boleh dimulakan Sabtu ini saya yakin ianya akan membawa kemenangan sebenar kita pada PRU15 kelak,” katanya. – UMNO Online