Pemuda UMNO Fokus Bantu Mangsa Banjir, Alu-alukan Sumbangan Keperluan Harian

KUALA LUMPUR, 21 Dis – Mendepani bencana alam seperti banjir yang melanda ketika ini, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia fokus dalam memberikan bantuan bagi meringankan beban mangsa yang terjejas.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan bahawa Shah Alam dan Kota Raja adalah kawasan yang paling teruk terjejas dan mangsa terkandas adalah Taman Sri Muda kerana penduduk meliputi hampir 30,000 orang.

“Saya dimaklumkan perkara tersebut oleh sahabat saya Ketua Pemuda UMNO Kota Raja, Sheikh Weshal Sheikh Ahmad berkenaan situasi ini.

“Pemuda UMNO/ Barisan Nasional (BN) sendiri menyediakan tiga bot untuk proses penghantaran bantuan makanan dan pemindahan, manakala badan bukan kerajaan (NGO) sahaja ada hampir 60-70 bot namun masih tidak mencukupi.

“Jentera kerajaan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Angkatan Tentera Malaysia pun hanya petang kelmarin sampai juga tak mencukupi,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Bagaimanapun, Asyraf juga turut menyeru pihak yang prihatin untuk menyumbang barangan keperluan harian bagi meringankan beban mangsa bencana ini.

“Fokus bantuan Pemuda UMNO/BN dan Skuad Sabil Kota Raja sejak semalam masih lagi untuk hantar makanan dan minuman. Malah mereka selesai ulang-alik bantuan pukul 4 pagi tadi.

“Bagi yang nak membantu amat dialu-alukan. Lebih ramai yang membantu termasuk NGO dan orang perseorangan lebih bermakna dan berkesan.

“Antara yang diperlukan adalah makanan siap masak, makanan segera, air minuman, pampers, susu kanak-kanak, lilin, barangan mandian dan pad wanita,” ujar beliau. – UMNO Online