Kerajaan Tidak Kukuh Jika Sentiasa Diugut Setiap Masa, Setiap Keadaan – Khaled

KUALA LUMPUR,16 Jan – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin terpanggil untuk menjawab ugutan Timbalan Parti Amanah Negara (PAN), Datuk Seri Salahuddin Ayub bahawa partinya akan menarik sokongan ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN)  Johor tetap diadakan.

Katanya, kerana ugutan sedemikianlah PRN dan Pilihan Raya Umum (PRU) wajar dilaksanakan segera dan tiada Kerajaan yang boleh diugut sedemikian pada setiap masa dan dalam setiap keadaan.

“Ugutan Datuk Seri Salahuddin Ayub sebenarnya bukan demi kepentingan rakyat tetapi kerana PAN takut menghadapi pilihan raya dan menerima kekalahan. Ini terbukti kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam PRN Melaka dan Sarawak sangat menghantui PH.

“Sama ada perlu atau tidak PRN Johor adalah sesuatu yang terpulang kepada budi bicara Kerajaan Negeri Johor dan Istana Johor. Segala ugutan dan ancaman dari PH bukan faktor penentu untuk membubar PRN.

“… Dan jika PH menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Barisan Nasional (BN) akan bersedia untuk menghadapi PRU dan membentuk Kerajaan baru tanpa perlu sokongan PH,  insyallah,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Menurut Khaled, apabila mengadakan PRN Johor bukan satu tindakan tidak bertanggungjawab. Malah inilah sebenarnya tanggungjawab.

“Kita mesti mengembalikan mandat kepada rakyat apabila kerajaan berada dalam kedudukan yang terlalu rapuh dan tidak stabil, bukannya terus menerus berkeras bahawa kita mempunyai kuasa apalagi bila terpaksa meminta sokongan pembangkang.

“Beranggapan bahawa tanggungjawab dan fokus terhadap kebajikan rakyat akan terabai hanya kerana berlakunya PRN juga sangat salah,” kata bekas Menteri Besar Johor itu lagi.

Begitu juga kata Khaled sekali pun akan diadakan PRN, jentera kerajaan dan segala bantuan tetap beroperasi dan diagih seperti biasa serta tiada yang akan ditutup atau dihentikan.

“Yang menjadi masalah ialah bila Kerajaan lemah dan tidak stabil. Usaha membantu rakyat dan menguruskan negeri akan terjejas sekiranya terus diancam kejatuhan seperti yang berlaku sekarang.

“Apa yang terhasil ialah kestabilan dan pembentukan Kerajaan yang kukuh dan stabil serta tiada penularan wabak yang serius,” katanya lagi.

Ujarnya, lebih 90 negara telah melaksanakan pilihanraya semasa pandemik. PRN Melaka dan PRN Sarawak juga semuanya dijayakan semasa pendemik. – UMNO Online