Pemuda UMNO Sasar 35,000 Sukarelawan Sabil Sebelum Julai Tahun Ini

KUALA LUMPUR, 17 Jan – Pergerakan Pemuda UMNO menyasarkan seramai 35,000 Sukarelawan Sabil di seluruh Malaysia sebelum Julai tahun ini, kata Ketuanya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Ujarnya, ini berdasarkan sambutan yang amat menggalakkan yang diterima oleh pihaknya bagi menganggotai skuad tersebut.

Tambahnya, Sukarelawan Sabil terbukti sentiasa ke hadapan dalam memberikan khidmat bakti kepada masyarakat tanpa mengira masa, tenaga dan tempat serta mampu melaksanakan tanggungjawab dengan sebaiknya.

“Sebagaimana dalam musibah banjir, Sukarelawan Sabil antara yang paling aktif memberikan khidmat bakti bukan sahaja daripada fasa menyelamat hinggalah kepada fasa pemulihan dan pembersihan.

“Sepanjang pandemik juga mereka aktif membantu masyarakat dalam misi sanitasi dan nyahkuman tempat-tempat awam dan premis perumahan individu secara percuma.

“Moga Allah berkati segala khidmat bakti yang dicurahkan secara sukarela dengan ganjaran yang besar,” ujarnya dalam satu perkongsian di Facebook.

Pada hujung minggu baru-baru ini, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak merangkap Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad telah melancarkan Sukarelawan Sabil Negeri Perak di Ipoh, Perak.

“Alhamdulillah, Sukarelawan Sabil di Perak bakal mencecah angka 4,445 orang yang mewakili 24 Parlimen di seluruh negeri Perak.

“Insya-Allah mereka semua akan melalui latihan secara berperingkat untuk membolehkan direkrut sebagai anggota Skuad Sabil,” katanya lagi.

Jelasnya juga, sejak penubuhan Skuad Sabil di bawah Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia pada 25 Ogos 2019, anggota Skuad Sabil yang terlatih adalah seramai 2,473 anggota. – UMNO ONLINE